Jumaat, 30 Disember 2011

Jalan Rosak Di Teluk Gong, Pusat Jangan Lepas Tangan

Oleh Mohd Ezli Mashut


KLANG : Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya digesa untuk menaiktaraf jalan-jalan di sekitar Teluk Gong khususnya di kawasan perkilangan dan perindustrian yang rosak teruk dan tidak diselenggara baik sejak 15 tahun yang lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata adalah dianggarkan kos sebanyak RM24 juta diperlukan bagi naiktaraf jalan tersebut ekoran ia digunakan hampir 10,000 kenderaan setiap hari termasuk kenderaan berat.

" Kita tidak minta untuk RM24 juta itu diberikan sekaligus, tetapi ia boleh dilakukan secara berfasa sedikit demi sedikit, isu ini telah dibangkitkan beberapa kali kepada pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pihak JKR, berkaitan dengan bidang tugas kawasan tersebut, seperti jalan raya ini adalah di bawah JKR," kata Charles semasa sidang media di sini.

Menurut Charles lagi, kawasan Teluk Gong adalah tapak perindustrian yang memerlukan perhatian daripada kerajaan bagi membantu menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Beliau juga berkata, banyak aduan dan laporan sudah dikemukakan kepada pihak MPK kepada kerajaan pusat namun sehingga kini tiada perkembangan yang memberangsangkan bagi masalah tersebut dan dianggap tidak adil kepada warga industri di situ.

" Apa yang kerajaan persekutuan perlu buat ialah menentukan dan memberi jaminan tidak ada masalah untuk pengusaha-pengusaha di mana-mana tempat termasuk di Teluk Gong, isu ini saya telah beberapa kali membawa ke Parlimen,di mana saya telah mengatakan jangan menganaktirikan mana-mana kawasan perindustrian yang memerlukan pertolongan," katanya.

Tinjauan yang dilakukan oleh Selangor Kini/ TVSelangor mendapati Teluk Gong dan kawasan sebelahnya Pulau Indah merupakan tumpuan para pelabur dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan Pelabuhan Barat yang strategik.

Malahan banyak syarikat-syarikat pengangkutan dan logistik membina bengkel, depoh dan pejabat urusan mereka di sekitar Teluk Gong dan Pulau Indah.

Teluk Gong juga merupakan salah satu tumpuan peminat-peminat makanan laut dari seluruh Selangor di mana pada setiap hari minggu, restoran-restoran makanan laut di Teluk Gong pasti penuh dengan peminat-peminat makanan laut.

Ahli Majlis Perbandaran Klang Allan M.Muniandy pula berkata beliau banyak menerima aduan daripada pekilang-pekilang disebabkan kerosakan jalan yang semakin teruk saban hari.

"Saya meminta kerajaan Persekutuan sebab jalan-jalan di Teluk Gong ini bukan di bawah bidang kuasa MPK dan kerajaan negeri, dan ia terletak di bawah Kementerian Kerja Raya, jadi saya menyeru kerajaan pusat untuk menyediakan dana peruntukan untuk memperbaiki jalan di Teluk Gong," katanya.

Menurut Presiden Persatuan Pekilang-Pekilang Teluk Gong S.S Wong, jalan yang rosak itu merupakan masalah berterusan sejak 15 tahun lepas justeru beliau menggesa agar masalah ini diselesaikan segera kerana jalan yang rosak itu mengancam keselamatan nyawa kepada pengguna motorsikal apabila hujan untuk mengelak jalan yang berlubang dan digenangi air.

" Pekilang-pekilang di kawasan ini melahirkan rasa kurang senang kerana setiap tahun mereka membayar pelbagai cukai kepada pihak berkuasa, jalan yang rosak ini di bawah tanggungjawab JKR, maka kita menggesa JKR untuk melihat secara serius masalah ini," katanya.

Wong juga berkata di kawasan sekitar Teluk Gong terdapat lebih daripada 100 buah kilang yang memerlukan sistem jalanraya dan perparitan yang terbaik bagi memastikan warga industri mempunyai kemudahan bagi menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Tiada ulasan: