Jumaat, 9 Disember 2011

Isu Pembangunan Kg Seri Aman Ijok Selesai

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Kerajaan Selangor sudah mempunyai pelan perancangan tersendiri untuk penyelesaian menyeluruh isu hak milik tanah dan penempatan penduduk di Kampung Seri Aman di Ijok dengan pembangunan lebih teratur dan selamat,kata Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim.

“Kerajaan Negeri perlu memastikan pemberimilikan tanah memenuhi keperluan dan perancangan pembangunan yang ditetapkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan mengambil kira keselamatan, kesihatan, bencana alam dan untuk kepentingan ramai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar.

Justeru,tegas beliau ia menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri lepas tangan untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa penyelesaian isu ini tertangguh ekoran kes ini sedang dalam proses pembicaraan di mahkamah.

“Pada 15 Julai 2008, Westmine telah menyaman Kerajaan Negeri kerana membatalkan projek penswastaan. Kes saman ini telah memberi kesan kepada Kerajaan Negeri kerana kerja pembangunan tidak dapat dijalankan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada 5 Disember 2005, UPEN telah menulis surat kepada Pentadbir Tanah Selangor memberitahu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 26 Oktober 2005 telah menarik balik kelulusan pembangunan penswastaan kepada Westmine.

Tetapi pada 18 Oktober 2006, MMKN mengubah keputusan dengan membenarkan Westmine meneruskan kerja dan pentadbir tanah menyelesaikan masalah 27 setinggan yg terlibat dengan pembangunan Fasa 1. Manakala pemaju diberi tempoh 3 bulan untuk menyelesaikan masalah setinggan.

Pada 2007, Kerajaan Negeri sekali lagi mengubah keputusan dengan membatalkan projek pembangunan penswastaan kepada Westmine sebaliknya meluluskan pemberimilikan tanah kepada 169 pemohon di kawasan tersebut. Bagaimanapun, notis 5A untuk pemilikan tanah tidak dikeluarkan kepada mereka.

Kerajaan Negeri hanya dapat meneruskan pembangunan tanah tersebut apabila pada 27 Oktober 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan saman tersebut dibatalkan.

Abdul Khalid juga mendakwa ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan penduduk.

“Lebih malang, individu yang membuat kecoh ketika majlis dialog pada 4 Disember lalu tidak tersenarai sebagai pemilik tanah,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri telah menawarkan kepada 111 penduduk Kampung Sri Aman sebuah unit rumah teres 2 tingkat dengan keluasan 20′ x 60′ dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air yang dijual pada harga subsidi iaitu RM70,000 berbanding harga pasaran sekitar RM120,000.

Sekiranya penduduk tidak berminat dengan tawaran pembelian ini atau tidak layak mendapat pinjaman bank atau pembiayaan, kerajaan negeri akan memberi jaminan (underwrite) kepada penduduk untuk membeli semula unit tersebut pada harga RM110,000 sekaligus memberi keuntungan RM40,000 apabila unit tersebut dijual.

“Jika penduduk lebih berminat untuk memiliki tanah sedia ada tanpa pembangunan, penduduk terlibat perlulah menanggung kos kerja-kerja tanah dianggarkan sejumlah RM2 juta bagi memastikan kemudahan infrastruktur dapat disediakan untuk penduduk,” katanya.

Abdul Khalid menegaskan, penyediaan perumahan yang selesa kepada penduduk menjadi agenda penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Pemaju bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah setinggan dengan tawaran bahawa satu rumah kos rendah berharga RM35,000 , Elaun perpindahan berjumlah RM2,000 dan setinggan fasa 1 diberi pilihan samada pindah ke rumah sementara atau menerima elaun sewa RM500 sebulan.

“Walaupun masalah-masalah ini ditinggalkan kerajaan negeri terdahulu, kerajaan negeri yang ada sekarang akan menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: