Khamis, 15 Disember 2011

Isu “Godfather” dalam DAP: Ramasamy perlu segera menjelaskannya

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Siapakah yang memulakan isu tersebut pada awalnya? Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri II Dr P.Ramasamy baru-baru ini telah menggelar Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh sebagai “godfather” dalam parti.

Apakah tujuan dan niat sebenarnya Dr Ramasamy berbuat dan berkata demikian? Mungkinkah beliau telah terlanjur di dalam kenyataannya sewaktu mengadakan sidang akhbar tersebut?

Kita semua tidak tahu, hanya Dr Ramasamy sendiri yang mengetahui apakah definasi sebenarnya beliau sewaktu mengajukan gelaran “Godfather” itu kepada Karpal? Penjelasan yang ditunggu itu tidak sampai-sampai lagi. Dan jika sekiranya Pengajuan gelaran tersebut kepada Karpal mempunyai suatu niat yang positif, maka Dr Ramasamy perlulah menjelaskan perkara tersebut dengan lebih teliti agar ianya dapat memadamkan api kemarahan Karpal akibat daripada gelaran tersebut.

Kita semua tahu, setiap insan mempunyai daya dan cara pemikiran mereka yang tersendiri, Dr Ramasamy mungkin menggunakan gelaran tersebut kerana terlalusangat menyanjungi para pemimpin DAP sehingga tidak tahu apakah gelaran yang benar dan sesuai yang patut beliau gunakan sebagai “menghormati” para pemimpin veteran parti.

Dan pada masa yang sama pula, Karpal melihat gelaran tersebut sebagai suatu panggilan yang bagaikan penghinaan dan merendahkan martabatnya kerana gelaran “Godfather” tersebut dianggap beliau sebagai suatu yang negatif kerana di dalam pemikirannya terus terlintas kait rapat gelaran tersebut dengan kumpulan kongsi gelap mafia (Itali dan Russia) dan yakuza (Jepun).

Oleh yang demikian, bolehlah kita anggap bahawa kedua-dua Karpal dan Dr Ramasamy tidak bersalah. Yang berlaku hanyalah suatu kesilapan komunikasi di mana siapa yang memulakan perkara tersebut haruslah memeberikan penjelasan bagi meredakan keadaan dan suasana yang tegang. Jika sekiranya Dr Ramasamy merasa beliau tidak perlu memohon maaf, maka beliau perlulah mempertahankan dirinya dengan mengemukakan penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara tersebut dan apakah definasi gelaran tersebut di dalam pandangannya.

Ramasamy hanya silap satu

Ya, kami amat menyetujui bahawa Dr Ramasamy hanya silap satu perkara tetapi bukan isu panggilan gelaran “Godfather”.

Silap Dr Ramasamy adalah beliau telah terlalu awal dan terburu-buru mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan kerusi parlimen dan dewan undangan negerinya dan pada masa yang sama mengumumkan beberapa orang penyokongnya akan juga turut bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pucuk pimpinan parti mengenai perkara tersebut.

Menurut, beberapa penyokongnya, Dr Ramasamy pernah mengemukakan senarai beberapa orang penyokong kuatnya untuk dijadikan calon pilihanraya yang akan datang, namum beliau tidak sabar dan kemudiannya mengumumkan dalam sidang akhbar bahawa orang-orangnya akan turut bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Perbuatan beliau yang terburu-buru itu seakan-akan tidak menghormati pucuk pimpinan parti dan memungkinkan hasrat tersebut bertujuan untuk menekan pucuk pimpinan parti agar segera menerima dan meluluskan pencalonan beberapa orang penyokong kuatnya untuk bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Perbuatan beliau itu juga dianggap kurang tepat dan tidak mengikuti saluran parti yang sebenarnya dan ini adalah suatu kesilapan yang sememangnya tidak dapat dinafikan beliau.

Kurang pengalaman

Walaupun Dr Ramasamy kini adalah merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Menteri II, namum kedua-dua kedudukan tinggi tersebut tidak semestinya memberi beliau satu “kuasa” untuk melakukan sesuatu sesuka hati beliau.

Katakanlah beliau juga tidak berniat untuk berbuat demikian, marilah kita merujuk beliau sebagai masih kurang pengalaman di dalam politik semasa dan penglibatan Dr Ramasamy di dalam kepimpinan parti dan kerajaan negeri Pulau Pinang adalah pengalaman secara langsung buat kali pertama beliau di dalam arena politik negara.

Dan oleh kerana kekurangan pengalaman, kesilapan semestinya akan berlaku bukan sahaja oleh Dr Ramasamy, malah para ahli-ahli parlimen (MP) dan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang lain yang baru satu penggal berkhidmat sudah tentunya telah banyak melakukan kesilapan dan masih mempelajari selok belok politik yang sebenarnya.

Dan oleh kerana tidak bernasin baik, Dr Ramasamy pula dijadikan contoh secara terbuka dan mendapat perhatian umum oleh kerana beliau adalah Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Menteri II.

Jika sekiranya Dr Ramasamy hanyalah seorang ADUN atau MP yang biasa serta jawatan setakat ahli jawatankuasa biasa DAP negeri, adakah kesilapan beliau tersebut akan mendapat liputan yang meluas? Sudah tentunya tidak.

Tetapi oleh kerana Dr Ramasamy kini adalah Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Menteri II (kedua-duanya jawatan peringkat tinggi) maka liputan yang meluas mengenai kenyataan beliau itu bolehlah dikatakan telah mengakibatkannya dilihat seperti seorang yang benar-benar telah melakukan suatu kesilapan besar.

Sebenarnya, apa yang telah berlaku terhadap Dr Ramasamy itu bukannya suatu kesilapan yang besar kerana ini merupakan penggal pertama beliau sebagai MP dan ADUN sama seperti beberapa orang rakan partinya yang lain.

Tiada ulasan: