Sabtu, 10 Disember 2011

Flashmob diteruskan di KLCC walau ditegah

Kira-kira seratus orang peserta perhimpunan flashmob hari ini berjaya menyatakan mesej mereka di Suria KLCC walau ditegah oleh pengurusan gedung membeli-belah itu.
flashmob1
Perhimpunan hari ini merupakan susulan kepada satu perhimpunan sama, dua minggu lalu, untuk membantah rang undang-undang kontroversi yang kini menunggu kelulusan Dewan Negara.

Selain menyanyikan lagu Krismas dan Negaraku, kumpulan berbaju kuning itu antara lainnya turut melaungkan slogan "hapuskan rang undang-undang" (kill the bill) ketika berhimpun selama kira-kira 25 minit di ruang utama di dalam kompleks berkenaan.

Kumpulan "Flashmob 1000 Malaysians Apreciate Christmas Tree' itu turut mengambil gambar dengan hiasan perayaan hari natal di ruang berkenaan.

Selain itu, peserta flashmob berkenaan turut mengumpulkan resit pembelian mereka dari premis perniagaan dalam gedung berkenaan sebagai tanda bahawa kehadiran mereka bukanlah untuk menimbulkan kekacauan.

Seorang daripada peserta berkenaan, Fahdiah Nadwa Fikri berkata perhimpunan berkenaan akan diteruskan selagi kerajaan tidak menarik balik Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat akhir bulan lalu.

fahdiah flashmob klccKetika ditemui, beliau yang menunjukkan sebuah buku bernilai RM55.50 yang baru dibelinya sebelum itu di satu kedai buku popular di kompleks berkenaan.

Salah seorang penganjur acara tersebut, Vienna Looi berkata mereka berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa kegiatan itu tidak akan menjejaskan perniagaan di situ.

"Flashmob seperti ini tidak membahayakan, kita hanya datang ke sini untuk menyanyi dan lain-lain tapi mereka rasa diancam," kata pelajar undang-undang itu ketika ditemui.

Katanya lagi, langkah itu juga sebagai reaksi kepada injuksi yang dikemukakan oleh pengurusan Suria KLCC yang mahu acara berkenaan dihentikan atas alasan kegiatan berkenaan akan menyebabkan peniaga di kompleks tersebut menanggung kerugian.

Resit yang dikumpul daripada peserta berkenaan akan dimuatkan di laman Facebook kumpulan tersebut, katanya yang menambah, mereka akan menganjurkan acara sama di situ, Sabtu depan.

Selain Looi, turut menerima notis melalui Facebook itu ialah aktivis Wong Chin Huat, Hew Li Huang, Chom Lee, Jason Tan, Ducky Charis Siah dan Aduka Seri Perkasa.

Surat guaman oleh Kuala Lumpur City Park Bhd, KLCC Urusharta Sdn Bhd dan Suria KLCC Sdn Bhd itu diserahkan kepada individu berkenaan di laman tersebut melalui firma Zul Rafique & Partners, yang mewakili ketiga-tiga syarikat berkenaan.

Tiada ulasan: