KUALA LUMPUR: Percubaan polis untuk menghalang huru hara di dalam Umno berikutan kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"(Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri) Khalid (Abu Bakar) dakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC.
"Kenyataan Khalid itu mungkin menyelamatkan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) yang berhempas pulas membela projek suami (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) itu dari menghadapi huru hara dalam perhimpunan agung Umno serta dipersoalkan oleh perwakilan-perwakilan yang berlakon kononnya mahu ketelusan dan amalan yang bersih dalam pemberian projek itu.
"Tetapi ia tidak mungkin menyelamatkan Umno dari menghadapi huru hara yang lebih besar lagi selepas ini," katanya.
Menurut Mahfuz, masalah terbesar yang dihadapi bukannya ketegasan ahli-ahli Umno kepada prinsip menentang kronisme, penyalahgunaan kuasa atau amalan yang tidak bersih dalam pemberian mana-mana projek.
"Semua itu mereka tidak peduli dan tidak pernah ambil peduli. Huru hara akan berlaku kerana semakin ramai ahli Umno yang akan mempersoalkan mengapa pemimpin tertinggi atau keluarga mereka mendapat habuan yang banyak sedangkan mereka hanya mendapat tulang-tulang sahaja.
"Tak mungkin boleh berpuas hati dengan sedikit suapan yang dihulurkan ketika pemilihan parti itu.
"Tentu mereka juga mahu habuan besar seperti keluarga Shahrizat kerana bagi mereka, mereka dan keluarga mereka juga berkerja keras dan berhak mendapat apa yang dinikmati oleh keluarga Shahrizat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Begitu juga dengan ahli-ahli Umno yang mendapat upah lima enam puluh ringgit memasang poster ketika pilihan raya, mereka juga teringin hendak mendapat habuan besar seperti dinikmati keluarga Ketua Wanita Umno, kata Mahfuz.
"Ahli-ahli Umno juga tentu boleh berfikir, itu habuan untuk keluarga Sharizat, bagaimana pula dengan pemimpin Umno lain dan keluarga mereka?
"Sebab itulah huru hara yang ditumbulkan oleh lembu fidlot itu besar kemungkinan akan berpanjangan dan semakin buruk.
"Bila keluarga Sharizat daat habuan besar, tidak ada jaminan para penyokong (Tan Sri) Rafidah (Aziz) yang ditewaskan oleh Shahrizat dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita Umno sebelum ini akan berdiam diri," katanya lagi.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan Khalid kononnya tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC.
"Khalid dan (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) sendiri berkata siasatan terhadap projek NFC masih diteruskan.
"Kalau masih disiasat bagaimana pula boleh mendakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC?" kata Mahfuz sambil menyatakan beliau merasa sangat kasihan melihat Khalid berusaha sungguh-sunguh memberi penjelasan dalam kes yang melibatkan para pemimpin Umno itu.
"Khalid tentu mahu menjadi Ketua Polis Negara," katanya lagi sambil tersenyum. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan