Selasa, 6 Disember 2011

Bob Lokman akan dibicara 14 Februari depan

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Pengacara, pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari 2012 depan kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Perbicaraan kes beliau akan berlangsung pada waktu pagi, tetapi masih belum ditentukan waktunya, hasil rundingan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengannya.

Menurut Bob, rundingan tersebut telah diadakan beberapa kali di beberapa tempat termasuk di Pejabat Jais di Shah Alam, selain di beberapa tempat lain setelah pihak Jais sendiri yang datang menemuinya.

Katanya, hasil rundingan-rundingan itu, akhirnya beliau bersetuju untuk dibicarakan dan berjanji akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari nanti.

"Jais dah berunding dengan saya beberapa kali. Jadi, saya tak mahulah buat kecoh. Insya Allah, saya akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada hari yang telah ditetapkan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah pada malam 10 Oktober lalu, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.

Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari 11 Oktober lalu bagi memberikan kenyataan.

Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu turut diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.

Ketika dihubungi 11 Oktober lalu, beliau mengesahkan penahanannya itu dan turut menegaskan tidak akan hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.

"Mereka yang datang untuk menangkap saya itu sendiri mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Jais ke atasnya itu kerana menahan beliau setelah menjadi baik, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.

Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.

Sehubungan itu, beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.

Menurut Bob, beliau tidak risau untuk hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari nanti kerana tindakan yang dilakukan ke atas beliau itu bukankah kerana berpunca dari sebarang kesalahan dari pihaknya.

"Jadi saya tak perlu takut dan tak pun berasa takut kerana saya tak lakukan apa-apa kesalahan pun. Tindakan yang dikenakan ke atas saya kerana saya menyampaikan perkara yang baik kepada masyarakat. Jadi, apa saya nak takut?" tegasnya.

Hasil rundingan pihak Jais dengannya, beliau mengakui diberikan tawaran oleh pihak Jais untuk diberikan tauliah mengajar agama, khususnya tauliah motivasi.

"Saya dah diberikan borang dan dah pun mengisi borang, tetapi hingga sekarang saya masih juga belum diberikan tauliah motivasi seperti yang dijanjikan itu," jelasnya.

Beliau mengakui sering menerima undangan daripada pelbagai pihak untuk menyamapikan ceramah dan sering sibuk dengan aktiviti dakwahnya setiap hari.

"Setiap kali saya ke masjid memang ada pihak Jais yang datang mengikuti ceramah saya. Tapi mereka tak ganggu saya dan tak pun tangkap saya.

"Saya fikir mereka tak boleh tangkap saya sebab tak cukup syarat untuk tangkap saya kerana yang saya buat dan sampaikan adalah perkara baik seperti yang dituntut dalam Islam," ujar beliau. --HarakahDaily

Tiada ulasan: