Selasa, 13 Disember 2011

Anak mahu Dzulkifli kekal Pengarah Urusan Felda

"Ini proses penyingkiran seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk. Adalah menyedihkan seorang Pengarah Urusan diperlakukan begitu hina," kata Mazlan Aliman.



KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menghantar memorandum menyatakan sokongan supaya Datuk Dzulkifli Wahab dikekalkan jawatannya sebagai Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Memorandum setebal lapan muka surat itu diserahkan Pengerusi Anak Mazlan Aliman kepada pegawai tertinggi Felda Mohammad Ibrahim.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, beliau difahamkan Dzulkifli kini sedang bercuti di New Zealand selepas diarahkan bercuti oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Katanya, Dzulkifli sepatutnya ‘direhatkan’ selama enam hingga sembilan bulan bagi mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan untuk meningkatkan lagi prestasi beliau dalam Program Transformasi Felda bermula 25 November lalu.

Namun Dzulkifli didapati telah bercuti 14 hari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan Isa melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 November lalu.

“Ini proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuknya. Adalah menyedihkan seorang Pengarah Urusan diperlakukan begitu hina.

“Tiada etika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23,000 kakitangan,” tegas Mazlan dalam memorandum itu.

Mazlan mendakwa, semua ini berpunca apabila Dzulkifli tidak mampu bekerjasama bagi merealisasikan impian Isa untuk melihat Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Katanya, Dzulkifli sedar yang Felda akan mengalami defisit sehingga RM1.5 bilion setahun jika saham dijual, lalu mempersoalkan bagimana cara untuk memperoleh pendapatan untuk membiayai kakitangan dan peneroka.

Projek gali kubur


“Ini projek gali kubur untuk kuburkan warga Felda. Kita takkan benarkan petualang ini nak jahamkan institusi tertua sebelum merdeka yang dibina dengan airmata, keringat dan perjuangan warga Felda serta peneroka,” katanya yang menyifatkan Dzulkifli seorang pegawai

Felda yang telah berkhidmat selama 30 tahun dengan penuh taat.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya selepas ini akan menghantar memorandum pula kepada Najib pada 20 Disember depan.

Katanya, beliau tidak ada pilihan melainkan memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang mesyuarat tergempar (EGM) Koperasi Felda

(KPF) daripada diadakan pada 5 Januari depan jika Najib masih mahu mempertahankan Isa.

“Segala-galanya berada ditangan Perdana Menteri. Kalau beliau tegas maka keadaan akan kembali sedia kala, kalau tidak ia akan jadi isu besar,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 50 peneroka Felda mengadakan demonstrasi dihadapan ibu pejabat Felda di sini mendesak supaya Isa meletakkan jawatan.

Demonstrasi kira-kira setengah jam itu antaranya melaungkan “Undur Isa”, “Halau Isa” sambil memegang sepanduk “selamatkan Felda dari pengkhianat”.

Tiada ulasan: