Ahad, 18 Disember 2011

Anak: Lupakan penyenaraian, tumpu usaha kukuhkan Felda


KUALA LUMPUR— Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang lantang menentang penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) membentuk jawatankuasa khas bagi mengenal pasti risiko penyenaraian di Bursa Malaysia.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya telah melantik beberapa pakar ekonomi sebagai anggotanya dan akan mengkaji kesan buruk ekoran cadangan kerajaan mahu menyenaraikan FGVH dan akan memberi cadangan alternatif kepada Putrajaya yang dijamin lebih berkesan untuk mengukuhkan institusi Felda.

“Anak bukan sahaja telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi tujuan itu, malah turut akan menyediakan satu jalan alternatif untuk mengelakkan daripada penyenaraian itu berlaku.

“Kita lupakan penyenaraian, tetapi kukuhkan institusi Felda. Pelan penambah baikan ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya pada sidang medianya di ibu pejabat PAS di sini.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata pihaknya turut menuntut perdana menteri berterus terang berkenaan tujuan penyenaraian tersebut.

“Anak percaya tujuan penyenaraian ini mempunyai motf tersembunyi pihak-pihak tertentu, perdana menteri harus memberi penjelasan sebenar berhubung perkara ini, katanya lagi.

Sehubungan itu, Anak telah menyerahkan surat kepada perdana menteri untuk menyerahkan memorandum berkaitan cadangan penambah baikan tersebut dan berharap dapat bersemuka secara empat mata dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

“Kata putus terletak di tangan perdana menteri, kami telah menghantar surat kepada beliau untuk menyerahkan memorandum tersebut, tetapi masih lagi belum ada jawapan balas.

“Anak berharap dapat bersemuka dengan perdana menteri bagi mendapatkan penjelasan sebenar,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: