KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Persatuan Undang-Undang Asia dan Pasifik (Law Asia) menyifatkan Akta Himpunan Aman 2011 sebagai bercanggah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.
“Akta itu melanggar norma hak asasi manusia secara langsung dan tidak langsung, yang dinyatakan melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat – Setiap individu mempunyai hak kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan,” kata Presidennya, Malathi Das.
Menurut Malathi, Law Asia membantah undang-undang tersebut kerana ia mengekang himpunan aman yang menjadi amalan biasa di negara-negara bertamadun yang lain.
“Law Asia mendapati akta ini memberi sekatan teruk dan ini tidak dapat diterima negara-negara bertamadun ekoran sekatan terhadap demonstrasi jalanan, mengambil kira had umur peserta yang menghadiri perhimpunan. Malah prosedur membebankan termasuk perlu mendapatkan kebenaran untuk mengadakan perhimpunan,” katanya.
Tambahnya kerajaan Malaysia turut meluluskan akta perhimpunan amam ini diluluskan dengan tergesa-gesa serta dibahaskan di Parlimen dengan masa yang singkat.
“Kerajaan hanya memberikan sedikit masa bagi ahli-ahli parlimen masih belum membiasakan diri dalam dengan kekangan terhadap kebebasan berhimpun yang masih boleh dibahaskan dengan masa yang tidak cukup bagi berunding dengan orang ramai.”
“Perhimpunan aman melalui jalan perarakan boleh dilaksanakan di Malaysia tanpa memerlukan akta yang menyekat seperti Akta Perhimpunan Aman,” kata Malathi.
Akta Himpunan Aman 2011 diluluskan pada 29 November 2011 oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun pada masa sama Majlis Peguam diiringi lebih 1,000 peguam berarak ke Parlimen bagi membantah akta tersebut.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga turut keluar dewan rakyat beramai-ramai kerana keengganan kerajaan menarik balik RUU tersebut.
Tindakan keluar dewan itu diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akta itu sebelum ini menetapkan notis 30 hari perlu diberikan kepada polis sebelum sebarang himpunan aman berlangsung.
Namun, selepas mendapat tekanan dan bantahan dari rakyat, keperluan memberi notis itu dipinda kepada 10 hari sahaja.
Mereka yang terlibat dalam himpunan aman itu pula boleh didenda sehingga RM10,000 seorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan