Sabtu, 17 Disember 2011

Ahli parlimen PKR Ampang cabar ketua Umno cermin muka

Bagaimanapun, Ismail membalas dengan meminta pemimpin pembangkang itu memberikan bukti.



PETALING JAYA: Banyak masalah di Ampang yang ditinggalkan BN telah berjaya diselesaikan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat, kata ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Zuraidah yang kali pertama menjadi ahli parlimen Ampang mendakwa masalah-masalah di Ampang dilakukan oleh ketua Umno bahagian Datuk Ismail Kijo.

“Baru tiga tahun menjadi wakil rakyat, kami telah menyelesaikan masalah-masalah yang gagal dibuat oleh ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo.

“Ismail menjadi Adun Lembah Jaya selama tiga penggal tetapi meninggalkan najis-najis (kotoran).

“Sepanjang sembilan tahun pentadbirannya, beliau dan Umno Ampang tidak lebih hanya menambah masalah kerana mereka mendahulukan kepentingan peribadi dan memburukkan lagi keadaan sehingga membebankan rakyat.

“…tanah kubur dikebas, sekolah agama digadai, peniaga Melayu ditipu dengan projek water front, masalah setinggan, masalah sijil kelayakan menduduki flat kos rendah, pampasan setinggan Sungai Purun, Berembang, Kampung Perak dan sebagainya,” katanya dalam respons kepada dakwaan Ismail semalam yang mengatakan Zuraidah dan Adun Bukit Antabangsa Azmin Ali tidak melakukan apa-apa di Ampang.

`Kubur mana?’

Zuraida yang juga ketua Wanita PKR meminta Ismail mencermin muka dan mengukur baju di badan sendiri.

Ketika diminta mengulas dakwaan tersebut, Ismail berkata, beliau mencabar pemimpin wanita PKR itu menunjukkan bukti beliau melakukan perkara-perkara tersebut.

“Tanya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sekolah agama rakyat mana yang saya jual?

“Kubur mana yang terjual? Berapa juta, siapa yang beli? .

“Mana satu setinggan yang tidak dapat duit. Tunjukkan bukti.

“Saya nak tanya, bolehkah wakil rakyat jual tanah orang?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiada ulasan: