Khamis, 24 November 2011

Siapa yang memerlukan 798 peti undi?

Wong Chin Huat


MCA menyatakan bantahannya terhadap cadangan untuk memperluaskan hak mengundi kepada warga Malaysia yang menetap di luar negeri. Alasannya cukup bodoh, sehingga mengundang cemuhan warga Malaysia - sama ada di luar mahupun di dalam Malaysia. MCA kemudiannya memberi alasan baru, yang disahut Perdana Menteri - bahawa pelaksanaannya terhalang dengan masalah teknikal yang agak rumit, kerana kira-kira 800 peti undi perlu diletakkan di Kedutaan Besar Malaysia di luar negeri.

Mengapa perlunya kira-kira 800 peti undi? Ini kerana kita mempunyai 222 kawasan parlimen dan 576 kawasan ADUN. Seandainya 13 DUN dibubarkan serentak dengan pembubaran parlimen, maka terdapat 798 kawasan pengundian. Namun, apakah setiap Kedutaan Besar Malaysia akan mempunyai pengundi yang datang dari kesemua 798 kawasan?

Pengundian tidak hadir semestinya perlu didaftarkan. Seandainya hanya pengundi dari 20 kawasan mengundi di satu Kedutaan Besar, apa perlunya untuk menyediakan 798 peti undi? Justeru itu, jikalau pengundi dari 30 kawasan parlimen dan 90 kawasan DUN tampil mendaftarkan diri, apakah kita perlu menyediakan 120 peti undi?

Semestinya tidak. Malah jika kesemua 798 kawasan pengundian mempunyai pengundi yang tampil untuk membuang undi sekalipun, mustahil setiap kawasan pengundian mempunyai ratusan orang pengundi. Jadi, melainkan kawasan pengundian yang mempunyai bilangan pengundi yang ramai, lantas memerlukan peti yang khusus, kawasan yang lain boleh berkongsi peti berdasarkan negeri/wilayah - hanya diasingkan semasa perkiraan undi. Dengan ini, kita mungkin hanya memerlukan 16 peti untuk parlimen dan 13 peti untuk negeri, atau lebih kurang - untuk menyempurnakan pengundian pos di luar negeri.

Justeru itu, logistik bukan masalahnya. Masalahnya sama ada ahli politik mempunyai tekad politik. Bantahan terhadap pengundian di luar negeri dengan alasan teknikal, meskipun lebih "mendalam" nampaknya, tetap bangang.

Anda yang cerdik mungkin akan menemui satu lagi persoalan, seandainya dikatakan berdepan dengan tekanan logistik seandainya hak pengundian diberikan kepada warga yang menetap di luar negeri - maka bagaimana pula dengan pengundi pos yang sedia ada, termasuk diplomat, penuntut dan keluarga mereka? Apakah mereka tidak memerlukan 798 peti undi?

Seandainya kita kerap membaca buletin antarabangsa, akan kita mendapat tanggapan bahawa mereka bakal pergi mengundi di Kedutaan Besar, sebagaimana yang dilakukan buruh asing dari Indonesia atau Filipina. Namun, hakikat di sebaliknya, mungkin tiada orang yang pernah membuang undi yang berkesan dari luar negeri!

Pengundi dari luar negeri yang sedia ada akan menghantar undinya kembali ke tanahair. Persoalannya, rekod tempoh kempen PRU kita yang tersingkat adalah lapan hari. Undi pos dikirim empat hari sebelum hari membuang undi. Kalaupun mereka menerimanya pada hari pengundian, apakah mungkin ia sampai ke tangan pengarah kawasan pengundian pada hari tersebut sebelum jam 5 petang?

Hj Rahim Salleh yang pernah menjawat Pengarah SPR di Kedah (1999), Pulau Pinang (2004) dan Kelantan (2008), pernah membuat kenyataan dalam ceramah selepas dirinya bersara, bahawa dirinya tidak pernah menjumpai satu pun undi yang dikirim dari luar negeri.

Ini mengapa tiada masalah logistik dalam hal mengundi oleh warga Malaysia yang menetap di luar negeri - pengundian luar negeri tidak memberi makna selain pada namanya.

Mengapa buruh asing lebih senang untuk memperolehi hak mengundi berbanding warga Malaysia yang menetap di luar negeri? Jawapannya senang, ramai warga Malaysia pindah ke luar negeri kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan. Bukankah kerajaan sebenarnya menghentak kaki diri dengan batu seandainya membenarkan mereka mengundi?

M.Bakri Musa yang kini berada di Amerika Syarikat berkata, warga Malaysia yang menetap di luar negeri untuk jangka panjang, terutamanya mereka yang mempunyai hak menetap di negara asing, tidak harus memiliki hak mengundi di Malaysia, kerana pertama, mereka tidak menanggung akibat daripada keputusan pengundian; kedua, mereka tidak membayar cukai; dan ketiga ia bakal menambah kos pilihan raya.

Pertama, pendirian ini bercanggah dengan perlembagaan, kerana kedua-dua sebab pertama bukan alasan pelucutan hak pengundian sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Sesungguhnya, kita boleh meminda perlembagaan untuk menyesuaikannya. Persoalannya, apakah ia selari dengan kepentingan negara untuk menyekat hak pengundian warga Malaysia di luar negeri?

Dalam zaman globalisasi, semakin ramai yang mana kehidupan, kerja, pemilikan harta dan pembelanjaan seseorang tidak terbatas di satu tempat. Seandainya kita masih mengharapkan lebih ramai pakar pulang dari luar negeri, maka kita perlu menghargai mereka yang berada di luar negeri, tetapi enggan melepaskan hak mereka untuk mengundi. Untuk persoalan cukai pula, kita tidak seharusnya hanya tertumpu pada cukai pendapatan. Mereka yang berada di luar negeri masih memiliki harta dan saudara mara di sini, malah sering juga menghantar wang balik ke rumah - tidak harus dianggap tidak membayar cukai langsung.

Pada dasarnya, pilihan kita adalah bersifat politik: adakah kita mahu pakar ini pulang dari luar negeri? Jika mahu, maka ia tidak harus hanya tertumpu kepada faktor ekonomi, tetapi perlu merangkumi hak politik, perlu menyambut dan bukannya menolak mereka.

Dari kenyataan Peguam Negara, nampaknya pihak berkuasa tidak bersedia untuk menghalang penggunaan dakwat kekal. Pendaftaran secara automatik sebagai pengundi dan peluasan hak mengundi kepada warga di luar negeri - meliputi lingkungan yang lebih luas - sama ada pihak berkuasa melaksanakannya bergantung kepada sejauh manakah hasrat rakyat. Mungkin pindaan perlembagaan diperlukan untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal, namun, dalam isu hak pengundian warga Malaysia di luar negeri, ia sememangnya akan bercanggah dengan perlembagaan seandainya tidak dilaksanakan.

Jikalau warga Malaysia di luar negeri ingin memperjuangkan hak dirinya, maka mereka seharusnya menyahut Global BERSIH 2.0, untuk memprotes pada 26 November di seluruh dunia, agar kerajaan memandang serius kemarahan yang terpendam dalam hati rakyat.

*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 16 November 2011.

Tiada ulasan: