Khamis, 10 November 2011

Seksualiti Merdeka: Polis terima 154 aduan, 50 diambil keterangan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Polis telah menerima 154 laporan di seluruh negara membantah penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Katanya, laporan yang diterima sehingga semalam itu membuktikan orang ramai mahu polis bertindak tegas terhadap penganjur demi keselamatan mereka.

“Orang yang buat laporan pun sudah 100 lebih, mereka pun kita akan rakam percakapan. Setakat ini lebih 50 orang telah dirakam percakapan,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Program Seksualiti Merdeka 2011 itu bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti gay, lesbian, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Khalid berkata setakat ini tiada individu yang ditahan.

Beliau berharap tidak wujud kumpulan serpihan yang cuba mengadakan apa-apa tindakan yang menyokong program Seksualiti Merdeka yang telah diharamkan oleh polis.

“Apa jua yang kita hendak buat, kita kena ambil kira sensitiviti budaya, agama dan berbilang kaum di negara kita.

“Jangan ikut sedap hati kita sahaja. Jangan sebab hendak ambil (pejuang hak) minoriti kita terpaksa menyebabkan majoriti marah,” katanya.

Tiada ulasan: