Selasa, 22 November 2011

Nik Aziz: Air Kelantan kotor, tapi bukan tertinggi

FREE MALAYSIA TODAY

Negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.



PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menepis dakwaan laporan akhbar Mingguan Malaysia bahawa bekalan air di Kelantan menunjukkan pencemaran tertinggi berbanding negeri lain.

Nik Aziz berkata, berdasarkan lampiran surat yang dihantar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 30 Oktober lalu, Kelantan mencatatkan kandungan bakteria E-Coli yang terdapat dalam air terawat hanya sebanyak 0.88 peratus.

Surat SPN itu memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.

Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%), Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%), surat itu dipetik.

E-Coli

“Saya sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi empat peratus, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E-Coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mursyidul Am PAS itu turut hairan dengan data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2012.

“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?

“Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta,” katanya yang turut merujuk kepada isu skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang membelenggu beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN).

Polemik

Katanya, ini merupakan respon awal daripada pihak pentadbitan Kelantan sebelum isu ini dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan Dato’ Mejar ( B ) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan penjelasan perkara yang sebenar, selain bimbang isu ini akan terus dimainkan dan menimbulkan polemik berpanjangan.

“Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respon terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (Keluaran hari Ahad : Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan.

“Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu “Kristian Agama Rasmi Negara” satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata,” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia mendakwa Kelantan menduduki tempat paling bawah sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko berdasarkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 mengenai bekalan air bersih di seluruh negara,

Keadaan itu dakwa Mingguan Malaysia merisikokan kesihatan kira-kira 1.54 juta penduduk Kelantan apabila mendapati air di negeri itu mengandungi arsenik, merkuri, serta beberapa unsur logam yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser, selain penyakit paru-paru, pundi kencing serta hati.

Tiada ulasan: