Ahad, 20 November 2011

NFC dan kondo mewah, antara lembu dan manusia

Oleh Syed Imran

Isu ladang ternakan negara yang dikatakan bakal memberi sumbangan besar kephttp://malaysianinsider-malaysiakini.worldheritage.com.my/wp-content/plugins/RSSPoster_PRO/cache/fd2a8_12b53da1159c0897b90d1ac4ad3ad744.gifada industri makanan, National Feedlot Corporation [NFC] yang diketuai oleh suami Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memasuki fasa siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan [CCID].


Isu NFC bangkit ekoran laporan Ketua Audit Negara yang kurang berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaiannya yang disifatkan oleh Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai kurang tepat.

Yang menarik perhatian seperti yang dibangkitkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS ialah pembelian dua buah unit kondo lampau mewah di Bangsar, yang diberi nama One Menerung, pada harga RM6.9 juta seunit [PKR kata RM9.8 juta].

NFC yang diberi pinjaman mudah RM250 juta oleh Kerajaan Persekutuan semasa ditadbir oleh Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian, untuk membangun dan memajukan industri ladang ternakan lembu, sebenarnya tiada kepakaran untuk mengusahakannya.

Dr Salleh mungkin berjaya dalam membangun dan memajukan Taman Teknologi Malaysia atau TPM yang diterajuinya selama 18 tahun, tetapi tiada kepakaran dalam industri ternakan atau perladangan ternakan. Itu yang jelas. Oleh itu, banyak yang hairan bagaimana seorang yang tiada kepakaran atau pengalaman boleh diberi kepercayaan untuk mengusahakan sebuah ladang ternakan seluas 607 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.

Tetapi, apa yang menarik perhatian umum ialah pembelian dua buah kondo lampau mewah di Bangsar yang disifat oleh Dr Salleh sebagai satu pelaburan yang baik untuk NFC walaupun ia melibatkan pelaburan RM13.8 juta daripada wang pinjaman RM250 juta yang diamanahkan oleh kerajaan.

Dr Salleh berkata pembelian dua buah kondo itu akan memberi pulangan lebih baik berbanding dengan jika wang tersebut disimpan dalam akaun simpanan tetap.

Beliau berhujah andai kata RM13.8 juta dimasuk dalam deposit tetap atau simpanan tetap bank pada kadar faedah 2.7 peratus setahun, NFC akan mendapat pulangan RM379,000 manakala pulangan daripada sewaan dua unit kondo mewah itu sebanyak RM360,000 setahun. Media melaporkan Dr Salleh sebagai berkata sewaan bulanan yang diperolehi adalah RM30,000 sebulan.

Tetapi, apabila penilai/pentaksir harta profesional menolak nilai sewaan yang disebut itu kerana menurut mereka, nilai paling tinggi yang boleh dicapai tidak melebihi RM24,000 dan mustahil untuk mencapai RM30,000 sebulan, Dr Salleh lantas menyatakan yang dia disalah petik oleh sesetengah media. Katanya, sewaan yang diterima ialah RM18,000 dan RM17,000 sebulan untuk dua unit kondo berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kondo berkenaan dibeli dengan mendapat diskaun 20 peratus dan pembelian tersebut adalah satu urus niaga yang baik untuk NFC.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang meneliti isu NFC mendapati ia tiada kaitan dengan undang-undang di bawah SPRM tetapi ada kaitan dengan Kanun Keseksaan dan oleh itu menyerah kes tersebut kepada PDRM. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan PDRM sedang menyiasat dan kita tunggu apa keputusannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dan Pak Lah, menolak desakan pembangkang dan beberapa NGO supaya Shahrizat, suami Dr Salleh melepaskan jawatan Kabinetnya. Mereka berkata Shahrizat tiada kaitan dengan pemberian pinjaman RM250 juta kepada NFC yang dikuasai oleh suami dan keluarganya.

Itu kata mereka.

http://kudaranggi.blogspot.com

Tiada ulasan: