Selasa, 22 November 2011

Mahasiswa tubuh Bebas tuntut hak

FREE MALAYSIA TODAY

Penubuhan Bebas disokong 10 persatuan mahasiwa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Universiti Malaysia (PMIUM).

PETALING JAYA: Sebuah NGO baru Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik atau Bebas dilancarkan bagi menuntut kebebasan akademik di negara ini.

Bebas dipengerusikan Muhammad Safwan Anang Talib manakala Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai jurucakap.

Penubuhan Bebas disokong 10 persatuan mahasiwa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Universiti Malaysia (PMIUM).

Selain kebebasan akademik, NGO pelajar universiti itu juga menuntut kebebasan dalam penyertaan politik termasuk menguruskan pilihan raya kampus.

Perjuangan Bebas berdasarkan dua prinsip sebagai asas kebebasan berakademik :

. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib.

Mansuhkan Auku

Ini bermakna Bebas menuntut kerajaan memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174.

Katanya, peruntukan-peruntukan dalam Auku 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.

“Ia juga mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa,” kata Bebas dalam satu kenyataan media hari ini.

Bebas menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan.

Para ilmuan menurut kenyataan itu mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.

“Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.

“Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: