Ahad, 6 November 2011

BELURAN, PUSAT PELUPUSAN PLUMBUM?



Oleh : MUTALIB M.D

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menggesa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak menjadikan Beluran sebagai Pusat Pelupusan Plumbum di Sabah.

Ketika ditemui di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Ronald yang agak terkejut dengan tindakan KKLW melambakkan bateri asid plumbum yang digunakan dalam projek solar Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Paitan dan Beluran.

“Masalah timbunan bateri plumbum yang digunakan selama ini belum selesai dan saya tidak jangka KKLW melambakkan lagi bateri asid plumbum di Beluran tanpa pengetahuan saya,” kata Ronald yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beluran) dan agak terkilan dengan senario yang berlaku.

Menurut Ronald, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyelesaikan masalah bekalan elektrik di parlimen Beluran (Labuk dan Sugut), namun penggunaan bateri asid plumbum yang berbahaya amat dikesalkan.

Dengan jangkaan hayat plumbum satu juta tahun, kata Ronald, beliau bimbang Beluran akan tercemar dan rakyatnya mengalami risiko akibat pencemaran logam berat plumbum yang tidak dilupuskan dengan sempurna.

“Isu plumbum ini telah dibincangkan secara panjang lebar di Dewan Rakyat dan saya tidak sangka penggunaan bateri plumbum dalam projek BELB masih berterusan. Kita harap KKLW dapat beralih kepada bateri yang mesra alam selaras dengan Dasar Tekonologi Hijau Negara,” ujar Ronald yang menyifatkan penggunaan Teknologi Hitam (Bateri Plumbum) sebagai menggagalkan penubuhan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Sejajar dengan penglibatan Malaysia dalam Basel Convention, Ronald berharap agar KKLW mengetatkan syarat iaitu mewajibkan kontraktor pembekal mengambil kembali semua bateri terpakai untuk dilupuskan.

“Kita tidak boleh bertolak ansur lagi kerana kesannya kepada kanak-kanak sudah mula kelihatan terutama kemerosotan dalam pelajaran yang dipercayai akibat kesan pencemaran plumbum; tertutama tindakan penduduk kampung melebur bateri untuk mengambil timah hitam sebagai pemberat jala atau batu ladung pancing,” kata Ronald yang menggesa kerajaan menghentikan terus penggunaan bateri asid plumbum dalam projek elektrik solar akan datang.

Ketika ditanya apakah beliau sedar bahawa Projek Solar di Paitan dilaksanakan oleh Naluri Rezeki Sdn.Bhd melalui kontrak KKLW.T.56/2011 bernilai RM33.816 juta di bawah tajuk Projek Pembinaan Bekalan Sistem Alternatif Mukim Paitan, Sabah; Ronald mengatakan beliau tidak tahu menahu kerana tidak pernah dimaklumkan kepada beliau oleh sebarang pihak.

Tiada ulasan: