Oleh Lim Hiong Siang
CUBA bayangkan, bagaimana peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 dicatat dalam buku teks sejarah, selepas 20 tahun kemudian? Apakah Anwar Ibrahim akan diperingati sebagai seorang “Bapa Reformasi”, ataupun sebagai “penjenayah” dengan 1,001 tuduhan liar ke atasnya - daripada ejen Yahudi, pengkhianat bangsa Melayu, sehinggalah peliwat yang paling tidak bermoral di dunia?
Jawapan sebenarnya bergantung kepada siapa yang berkuasa dalam tempoh 20 tahun ini. Seandainya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) masa depan, maka sekurang-kurangnya gerakan “Reformasi 1998” akan dipahat sebagai kebangkitan rakyat untuk menuntut keadilan - menolak rasuah, kronisme dan nepotisme. Malah, “tsunami politik 8 Mac 2008” akan dicatat sebagai hasil yang dituai daripada usaha perjuangan mereka yang turun ke jalan raya untuk melaungkan “Reformasi” 10 tahun yang lalu.
Jikalau Umno-Barisan Nasional kekal berkuasa dalam tempoh dua dekad ini, maka anak dan cucu kita akan menarik nafas lega ketika habis membaca babak sejarah tahun 1998, kerana “ketegasan PM ke-4 Mahathir Mohamad untuk memecat si petualang yang bakal membinasakan bangsa dan negara”, lantas “Malaysia terselamat daripada mala petaka”. Lebih-lebih lagi, perenggan seterusnya mungkin berbunyi, “...Cubaan pembangkang menghasut pengundi untuk membenci kerajaan hampir berjaya pada 8 Mac 2008, namun berjaya dipatahkan Umno-BN, selepas rakyat menyedari wajah sebenar pemimpin-pemimpin pembangkang...”
Apa yang berlaku telah berlaku. Pada 20 September 1998, puluhan, malah ratusan ribu orang turun ke jalan raya untuk menuntut reformasi. Pada 10 November 2007, puluhan ribu rakyat yang berpakaian kuning berarak ke Istana Negara, menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih. Pada 9 Julai 2011, puluhan ribu rakyat menembusi sekatan polis, bergelut dalam kepulan gas pemedih mata - mengulangi tuntutan Bersih pada tahun 2007 yang belum dipenuhi.
Kesemuanya fakta. Kita melihat dengan mata sendiri bagaimana peserta perhimpunan dengan bilangan yang sebegitu besar, mengawal dirinya di jalan raya, meskipun dibedil bertalutalu dengan gas pemedih mata.
Kita menyaksikan video dan gambar - bagaimana meriam air berkimia dan gas pemedih mata ditembak ke dalam pekarangan hospital, malah polis menyerbu ke dalam pekarangannya untuk menangkap peserta perhimpunan.
Namun demikian, apa yang didengar, jauh berbeza daripada apa yang dilihat. Kita mendengar dengan telinga sendiri bagaimana Ketua Polis membuat kenyataan bahawa kehadiran peserta perhimpunan hanya kira-kira 6,000 orang; kita juga mendengar bagaimana Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai menafikan bahawa gas pemedih mata ditembak ke dalam pekarangan hospital. Lebih-lebih lagi, peserta perhimpunan disifatkan sebagai “perusuh” yang bertindak liar dan ganas, oleh media kawalan Umno, terutamanya Utusan Malaysia dan TV3.
Seringkali akhbar diibaratkan sebagai “draf awal kepada teks sejarah”. Maknanya, laporan berita akhbar akan dijadikan bahan ketika sejarah ditulis.
Persoalannya, sama ada Utusan Malaysia, ataupun Harakah, Malaysiakini, mahupun MerdekaReview, yang bakal dijadikan rujukan ketika sejarah ditulis untuk anak-anak kita? Ini antara puncanya kita menolak pembohongan media.
Ia bukan semata-mata menolak fitnah untuk “menyelamatkan undi” seseorang pemimpin politik mahupun sesebuah parti politik, tetapi untuk memastikan agar penulisan sejarah diletakkan pada landasan kebenaran, supaya anak-cucu kita tidak perlu menghafal cerita karut untuk lulus dalam mata pelajaran sejarah.
Namun, kita diperlihatkan bagaimana fakta dipintal sewenang-wenangnya untuk memenuhi keperluan politik.
Untuk menjaga “air muka” kerajaan Umno-BN, 44,000 peserta dinyahkan terus (perhimpunan Bersih 2.0 dihadiri kira-kira 50,000 peserta) daripada angka kehadiran perhimpunan; untuk “menonjolkan” bahawa perhimpunan Bersih 2.0 diresapi unsur komunis, maka baju-T dengan gambar Che Guevara dijadikan “bahan bukti”; untuk menutup salah-laku polis, maka menteri sanggup berbohong secara terang-terang, meskipun perlu menelan hati-perutnya ketika mengeluarkan kenyataan yang meloyakan itu.
Kita “tersentuh” dengan apa yang berlaku kerana kita berada di tempat kejadian, terlibat dalam “sejarah” yang berlangsung di depan mata kita. Ia jelas satu penghinaan apabila perhimpunan 709 dituduh mencetuskan huru-hara dalam masyarakat, sedangkan peserta daripada semua kaum berganding bahu menuntut perubahan secara aman.
Tiada yang lebih dahsyat daripada apa yang berlaku sekarang - pembohongan melalui teladan. Pimpinan tertinggi menipu rakyat dengan tawaran stadium untuk perhimpunan, disusuli tukang pintal bawahannya, sehingga bendera yang dibawa oleh seorang anggota unit amal boleh difitnah sebagai pisau - sematamata untuk mempertahankan dusta bahawa “terdapat unsur keganasan dalam perhimpunan haram ini.”
Demi mempertahankan kuasa rejim sekarang, ada profesor sanggup mengeluarkan kenyataan “Malaysia tidak pernah dijajah” - tak lain tak bukan untuk menjahanamkan Mohamad Sabu, selepas fakta demi fakta disajikan Timbalan Presiden PAS ini untuk menyanggah tuduhan Umno. Bukankah ini contoh paling nyata bagaimana “matlamat boleh menghalalkan cara”, meskipun matlamat itu sesuatu yang belum pasti halal atau tidak?
Kita telah menyaksikan satu proses bagaimana “sejarah” dirangka, ditulis, dan kemudian “dikisahkan” ahli akademik. Realitinya, sesiapa yang berkuasa bukan sahaja melakar masa depan kita, tetapi juga mencoret “sejarah” kita. Melihat kepada apa yang berlaku dewasa ini, apakah sejarah tidak boleh dipertikaikan langsung, sedangkan ia mungkin pembohongan yang belum dibongkarkan?
Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Emel: hongsiang27@gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan