Sabtu, 24 September 2011

MENTERI, KPI DAN HARI RAYA….ALAHAI….!

RONTOG DAILY

Sebelum PRU 2008, Anwar Ibrahim hadir open house Hari Raya

oleh Musli Oli


Pagi ini, cuaca baik. Tak panas tapi tak hujan. Dari Heritage Condo, Setapak, saya beritahu driver teksi jangan buat U turn kerana Jalan Pahang agak luar biasa sesaknya hari ini.

“Baik kita ikut highway sebelum jalan Gombak. Saya bayar duit tol seringgit dan tambah lagi lima ringgit”.

“Ok bang” Jawab driver teksi. Namanya Rahim. Umur sekitar 40 tahun.

Saya temu janji dengan Din Johor jam 9.30 pagi. Dia ajak saya jumpa menteri di Putrajaya. Semalam kami sudah ke pejabat menteri berkenaan. Tapi setelah menunggu mesyuarat post cabinet dari jam 2 petang hingga jam 6, menteri tergesa-gesa keluar. Menteri terpaksa balik cepat untuk menghadiri majlis rumah terbuka hari raya di Selangor.

Saya diberitahu, menteri tidak dijadualkan menghadiri majlis hari raya itu. Tetapi disebabkan Perdana Menteri hadir, dia terpaksa berada dimajlis berkenaan. Saya, Din dan beberapa orang lagi dinasihatkan untuk datang esoknya iaitu hari ini, jam 12 tengah hari.

Pagi ini, walau tak hujan, jalan raya agak sesak. Highway yang sepatut lancar dipenuhi kenderaan. Takkan jam 9.30 masih sesak?

Semasa membelok ke kiri ke arah sign board PWTC, tiba-tiba Rahim bersuara.

“Apa halnya jem ni bang? Hari ni Khamis, bukan Jumaat. Jam 9.30 pagi pun jem jugak”

“Entahlah Rahim. Orang KL ni tak ada rumah agaknya. Semua nak bawa kereta.”

Tiba-tiba saya teringat, rupanya ada Majlis Rumah Terbuka anjuran Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di PWTC bermula jam 10 pagi hingga jam 3 petang.

“Takkan hari raya tak habis-habis Melayu ni bang!. Dah kaya sangatkah? Orang Islam di negara Arab dan negara-negara Islam lain hari raya juga tapi setakat 3 hari saja.”

“Pelik Melayu ni, bila harga ayam naik 20 sen, satu Malaya heboh, marah kerajaan. Tapi beraya sakan sampai sebulan. Mana dapat duit tu? Membazir je?”

“Yang kaya UMNO Rahim, bukan Melayu!” Saya mengusik. Rahim tersengih.

Cuba bayangkan dalam tempuh sebulan, seorang Menteri perlu buat rumah terbuka tiga atau 4 kali. Rumah terbuka pertama diadakan sebagai status Menteri. Rumah terbuka kedua sebagai ahli Parlimen di kawasan parlimen dan rumah terbuka ketiga untuk kementerian. Rumah terbuka keempat untuk VVIP.

Mewah sungguh!

Pilihan raya dah semakin dekat, ramai pemimpin parti, samada menteri, ketua bahagian dan individu yang beria-ia melobi calon mengambil peluang ini untuk menunjukkan pengaruh mereka. Untuk menarik orang ramai, ada pemimpin yang sanggup bayar berpuluh-puluh ribu membawa artis ke majlis berkenaan.

Majlis Hari Raya yang sepatutnya tempat mengeratkan silaturrahim dah jadi pesta nyanyian dan musik! Saya terbaca seorang pemimpin UMNO bangganya posting kat Facebook dan Twitter ayat berikut, “Syukur Alhamdullilah, sambutan luar biasa majlis hari raya kawasan saya……….sebagai tanda sokongan akar umbi kepada UMNO dan kerajaan”.

Tepat jam 10 pagi Din Johor atau nama lainnya Din Seluk kerana tangannya kadang-kadang seluk poket kawan-kawan, tiba di Hotz Café, The Mall. Selepas minum Nescafe segelas, kami menuju ke Putrajaya. Kereta Honda Accord dipandu Din mengikut laluan lebih jauh untuk elak kesesakan.

“lengang je pejabat ni. Macam baru di serang garuda” Kata Din sebaik kami tiba di pejabat menteri.

Jam baru pukul 12. Menteri dah tak ada. Pejabat kosong. Setiusaha Sulit beritahu menteri kat PWTC bersama-sama PM berhari raya dengan Pemuda, Wanita dan Puteri……

Alahai..Kalaulah tahu semua menteri wajib hadir majlis hari raya waktu pejabat, tidaklah kami buang masa berjam-jam dari KL ke Putrajaya.

Kami bergegas ke PWTC. Saya hanya sempat melihat menteri dari jauh. PM, Datin Seri, TPM, Setiusaha Agung UMNO, ketua-ketua sayap dan Dato Jins Shamsuddin duduk satu meja. Jins Shamsuddin semeja dengan PM? Ini mesti cerita Bukit Kepong, bisik hati saya.

Orang ramai penuh sesak. Tak lama selepas itu Ketua Pemuda berucap sebagai tuan rumah. Ucapan Hari Rayanya menjadi ucapan politik dan tidak syak lagi menyentuh hikayat Bukit Kepong. Maaf saya sebut hikayat, kerana sejarah Bukit Kepong ada berbagai versi. Versi UMNO,Versi PAS dan versi Prof Zainal Kling.

Sampai giliran Dato Sri Najib nak beri ucapan, perlahan-lahan saya beredar keluar. Dahlah menteri tak dapat jumpa, makanan pun dah habis!

Sambil berjalan keluar, mata saya liar memerhati dan meninjau meja-meja yang tersedia, kalau-kalau ada kelibat Dato Idris Jala dimajlis tersebut. Kalau ada saya ingin bertanya, bagaimana dengan status KPI menteri-menteri UMNO sepanjang sebulan berhari raya.

ALAHAI….

Tiada ulasan: