Sabtu, 17 September 2011

Politik Malaysia turun naik, tapi jangan lupa semangat 16 Sept


Pencapaian Malaysia hari ini sebagai sebuah negara sedang menuju status negara maju banyak membantu rakyat dalam banyak segi. Penyatuan 14 negeri sebagai sebuah negara Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak sememangnya memberi impak kepada pembanggunan negara.

Walaupun pada asalnya penyatuan ini menjadi sebuah konspirasi yang menyebabkan Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965 kerana tidak puas hati dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi perkara ini tidak banyak menjejaskan kestabilan negara, malah memberi pengajaran yang baik kepada sejarah negara dan penubuhan Malaysia.

Namun pergolakkan isu politik yang melibatkan penubuhan Malaysia masih lagi mengganggu pemikiran masyarakat. Misalnya isu perkauman sehingga hari ini masih lagi menjadi agenda utama yang dipersoalkan dan menjadi sebahagian daripada permainan parti-parti politik. Isu yang paling ketara dibahaskan adalah kadar kemiskinan di kalangan pribumi di Sabah dan Sarawak. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati kerana negeri-negeri inilah banyak membantu menaikkan kestabilan ekonomi negara. Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai banyak hasil bumi seperti minyak, gas dan balak dan merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar untuk menjadi negeri yang paling maju di Malaysia. Namun apabila dilihat pendapatan dan rakyatnya di situ timbulnya keraguan. Maka, lahirlah ketidakadilan di kalangan kaum pribumi jika dibandingkan dengan warganegara lain.

Perkara ini tidak diragukan kerana mengikut kajian Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kemiskinan yang paling serius di Malaysia adalah di kalangan komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, berdasarkan statistik di Sabah dan Sarawak, masih terdapat banyak kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih dari satu petempat isi rumah tidak ada akses kepada elektrik yang sempurna, kemudahan air yang bersih dan dirawat. Di situ lahirlah diskriminasi yang bakal menggugat kestabilan negara apabila hal ini mula dipolitikkan.

Jika digali lagi pasti banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Segalanya perlu bagi merealiasasikan konsep 1 Malaysia.

Pastinya harapan rakyat Malaysia, pembangunan yang adil dan saksama sangat perlu dititikberatkan.

Untuk menjadi sebuah negara maju setanding dengan negara Eropah. Setiap keperluan, kemudahan dan infrastruktur rakyat harus diutamakan.

Rakyat adalah pendokong utama negara.

Sokongan rakyat yang akan mengangkat negara ke mata dunia.

Jika Malaysia masih berada di takuk yang lama dan masih mengekalkan kedudukan yang sama, maka hacurlah pengorbanan pejuang terdahulu dalam menyatu dan menaikan Malaysia.

Semoga suatu masa nanti tiada lagi pergolakan isu politik, persoalan isu perkauman dan pertikaian isu kedudukan sebagai warganegara Malaysia, sambutan Hari Malaysia ini harus dibanggakan dan perlu diteruskan bagi memberi peringatan kepada seluruh rakyat khususnya generasi muda.

Mereka harus sentiasa diingatkan bahawa apa yang mereka kecapi hari ini bukanlah semudah ‘menggoogle’ kemerdekaan hanya di Internet, tetapi hasil jerih perih datuk dan nenek mereka sendiri dalam memperjuangkan maruah negara. Pada hari bersejarah ini jugalah merupakan hari ‘flashback’ sejarah pembentukan Malaysia di mana rakyat harus sedar dimana asalnya mereka.

Sudah pasti ada di antara mereka yang masih tidak tahu tetang kewujudan Malaysia, malah alpa dengan kemudahan yang diberi tanpa memikirkan kesusahan pejuang terdahulu mendapatkan apa yang mereka miliki kini.

Sesungguhnya sejarah turun naiknya Malaysia banyak memberi pengajaran yang baik dalam perkembangan dan pembangunan negara kita hari ini.

Tiada ulasan: