Ahad, 11 September 2011

PKPIM desak kerajaan kota janji mansuh PPSMI

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai dan mengotakan janji untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, ujarnya cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik adalah sangat mengejutkan.

“PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan sebelum ini tidak dipandang secara serius oleh kerajaan dan keputusan ini boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu seperti Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.

“Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan.

Menurutnya, sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia.

PKPIM, tegasnya komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya PKPIM menyokong pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang mengkritik dan mempersoalkan kajian yang dilakasanakan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkenaan 50% ibu bapa yang mahukan dasar PPSMI ini diteruskan.

“Dapatan yang diperolehi oleh JMM ini tidak melambangkan hasrat sebenar majoriti rakyat yang menolak dasar ini.

“Hal ini disokong dengan adanya kajian ilmiah oleh pelbagai pihak yang merangkumi seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini,” ujarnya.

Katanya, keputusan dan rumusan kajian yang telah dilaksanakan ini menunjukkan keputusan sebaliknya selepas dasar ini diperkenalkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa.

PKPIM juga, ujarnya ingin merakamkan kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, tokoh pejuang bahasa yang konsisten dalam memperjuangkan agar dasar PPSMI ini ditamatkan.

“Mewakili suara generasi muda di Malaysia, PKPIM bertegas bahawa semangat perjuangan Allahyarham dan para cendekiawan dalam memastikan fungsi dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dikembalikan semula pada tempatnya,” katanya.

Tiada ulasan: