"Kami menentang 100 peratus rang undang-undang ini, majoriti membantahnya," katanya.
KUALA LUMPUR: Pewaris tanah Kampung Baru hari ini menggesa agar rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru di sini ditarik balik dan dibincangkan semula sebelum dibaca dalam sesi parlimen akan datang.
Timbalan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, Mohd Nor Hassan, 56, berkata sejak bacaan kali pertama rang undang-undang itu pada Disember lalu, majoriti pemilik dan pewaris tanah membantah cadangan itu namun tidak diendahkan kerajaan.
Mohd Nor yang juga merupakan generasi kedua Kampung Baru berkata penolakan rang undang-undang itu disebabkan tiada jaminan hak mereka akan kekal walaupun bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata akan bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru bertemu dengan kami.
“Malah ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuasa menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda, perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan boleh merampas tanah kami,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Ujar beliau kerajaan tidak ikhlas untuk membincangkan tentang hala tuju rang undang-undang itu sehingga memutuskan untuk terus bawa ke Parlimen untuk bacaan kali kedua.
Tidak nampak keikhlasan
“Kami tidak nampak keikhlasan kerajaan, tarik balik rang undang-undang ini dan bincang balik dengan kami kemudian baru bawa masuk balik..kami tidak tentang pembangunan tetapi kami menentang cara kerajaan yang nak mengambil alih dengan cara yang tidak elok, guna parlimen untuk ambil alih hak kami.
“Kami menentang 100 peratus rang undang-undang ini, majoriti membantahnya,” katanya.
Selain itu, beliau juga mahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mendedahkan perkembanga terkini tentang referendum yang diserahkan kepada pemilik dan pewaris tanah membuat keputusan.
Pada Jun lalu hanya 30 peratus borang referendum itu telah dikembalikan namun tiada keputusan tentang jumlah yang menyokong atau menentang.
“30 peratus ini dari mana? Siapa yang hantar? Sehingga kini tiada rekod…dan untuk rekod terdapat 4,000 pemilik dan pemaris tanah tapi ramai yang sudah tidak duduk di Kampung Baru malah semasa penjelasan dibuat tentang pindaan itu hanya segelintir sahaja yang hadir.
Sementara itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula berkata langkah kerajaan meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen kelak adalah bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris di tanah berusia 111 tahun itu.
Borang referendum
“Menteri juga sebelum ini berkata referendum akan menjadi asas tama sama ada rang undang-undang ini akan diteruska atau tidak, borang referendum telah dihantar dan saya difahamkan pada Jun hanya 30 peratus yang telah mengembalikan borang itu,” katanya.
Justeru jelas beliau, langkah terbaik yang harus diambil kerajaan adalah menarik semula rang undang-undang itu dan dibincangkan semula dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.
Rang undang-undang itu sepatutnya dibahaskan semula di Parlimen pada sesi Jun lalu.
Bagaimanapun pada akhir Jun lalu, majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua memandangkan respons ke atas referendum melibatkan pemilik tanah eksekutif orang Melayu itu dingin.
“Kalau prihatin dengan rakyat cara paling baik tarik balik, duduk semula dengan penduduk Kampung Baru dan bincang semula kemudian masuk balik dalam Parlimen,” katanya lagi.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah wakil peguam Zulhazmi Shariff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan