Ahad, 4 September 2011

Pentas Patriot: Umno guna peluang semai rasa benci, dakwa Nurul

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Sebagai parti pemerintah, Umno seharusnya memudahkan perbincangan isu semasa berkaitan fakta kemerdekaan demi kepentingan nasional agar sejarah menjadi “batu asas dan bukannya batu api” kepada masa depan negara, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

“Kita tidak boleh nafikan kewujudan pendapat berlainan mengenai sejarah Malaysia dan kita juga tidak boleh nafikan pelbagai pihak yang masih belum sembuh luka silamnya,” kata beliau.

Mengulas langkah Pemuda Umno yang mahu mengadakan majlis penerangan jelajah negara - Pentas Patriot - untuk menjawab kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong, tegas Nurul Izzah (gambar), “inilah yang sepatutnya menjadi matlamat parti-parti politik, terutama sayap-sayap pemuda.”

Malangnya, kata beliau, sedihnya Umno sekali lagi mengguna peluang yang ada untuk menimbulkan syak-wasangka dan rasa benci di kalangan rakyat Malaysia demi masa depan politiknya sendiri.

Nurul Izzah berkata rancangan Pemuda Umno untuk mengadakan program jelajah yang akan “menyerang” Mohamad amatlah mendukacitakan dan tidak perlu.

Katanya, tindakan ini diputuskan walaupun pelbagai pihak menunjukkan Mohamad tidak pernah mengagungkan golongan Komunis ataupun mempromosi keganasan dalam ucapan beliau 21 Ogos lalu.

“Apa yang terang lagi bersuluh dalam kontroversi terkini adalah perbalahan pendapat yang masih belum terhenti mengenai zaman darurat dan juga zaman-zaman lain dalam sejarah negara membuktikan versi “rasmi” sejarah Malaysia yang diangkat pentadbiran BN belum diterima sepenuhnya semua pihak.

“Malah ia kelihatan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam masyarakat dan menyulitkan segala usaha untuk menyatupadukan rakyat,” katanya.

Tambah Nurul Izzah, nampaknya Pemuda Umno tidak mahu menumpukan usaha mereka untuk betul-betul membantu bekas perajurit dan mereka yang masih berkhidmat, tapi sebenarnya hanya berminat untuk mencerca PAS dan Mohamad.

“Sememangnya, jika Umno benar-benar mahu perjuangkan nasib para perajurit negara, mereka akan perjuangkan hak para perajurit untuk mengundi dengan bebas dan adil dan bukannya mempertahan sistem undian pos yang sedia ada yang menganiaya hak mengundi para tentera dan polis,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Lebih dari itu, katanya, bukanlah lebih baik jika Umno menyalurkan masa, wang ringgit dan tenaga mereka untuk membantu bekas perajurit Malaysia yang memerlukan bantuan, dan bukannya untuk menjalankan program-program jelajah sebegini?

“Bukankah Utusan Malaysia, akhbar alat sebaran mereka, sudah cukup untuk mencerca PAS, Mohamad Sabu dan Pakatan Rakyat amnya?” Katanya.

Kata beliau, pihaknya juga terfikir mengapa para “patriot” ini menganggap siri jelajah sebegini lebih membawa manfaat dan kebaikan dari menyokong, mengawas, dan memberi maklum balas kepada badan kebajikan para perajurit seperti Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dan badan-badan seperti itu? Jika mereka bekerjasama dengan badan-badan ini - untuk perjuangkan pembelian aset-aset Exxonmobil, sebagai contoh - pasti pejuang dan perajurit negara akan menikmati kebaikan dan keuntungan, dan kepentingan negara akan terjaga lagi terselamat.

“Akhir sekali, jika Umno begitu serius untuk perjuangkan nasib bekas perajurit yang telah berjuang demi tanah air tercinta, bukankah mereka sepatutnya membantu bekas perajurit yang telah berjuang sewaktu Perang Dunia Kedua, yang mana ada di antara mereka yang masih belum menerima pampasan atau bantuan di atas perjuangan mereka?” katanya.

Tiada ulasan: