Sabtu, 3 September 2011

Pemuda PKR: Putrajaya perlu betulkan fakta sejarah, bukan lalai rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Di sebalik kontroversi kenyataan mengenai tragedi Bukit Kepong, kepimpinan pembangkang meneruskan desakan agar kerajaan pusat mendengar desakan rakyat agar membuka kembali lembaran sejarah supaya ia dapat diletakkan di tempat yang betul.

Justeru Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) menegaskan, selepas 54 tahun negara merdeka, generasi muda harus berani kembali menyingkap sejarah.

“Mengibar bendera dan melaung merdeka bukan penyelesaian mutlak. Sejarah yang cuba dikaburkan oleh pemerintah harus kembali dibuka dan dibahas agar yang hak diletakkan ditempat yang betul,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, mutakhir ini berlaku polemik mengenai sisi-sisi sejarah yang berbeza daripada nukilan teks sejarah di sekolah.

Melihat kepada latah sesetengah pimpinan Umno-BN yang melulu menghambur cemuhan, kata beliau, terbukti apa yang mereka mahu ialah rakyat Malaysia terus ‘dibutakan’ daripada melihat sejarah yang tersirat.

“Generasi muda Malaysia, semahunya dilalaikan dengan kibaran bendera dan laungan merdeka, tetapi tidak kepada membahaskan teks sejarah yang saban waktu diasak agar dikaji dan ditulis semula,” katanya dalam mesej sempena tanggal 2 September, yang sinonim dengan detik permulaan reformasi 13 tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Ketua Umum PKR, dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September dan disusuli daripada jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

Pendirian ini juga dikeluarkan ketika kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, didakwa mengagug-agungkan komunis berhubunh tragedi Bukit Kepong terus diperkatakan.

Kata Shamsul Iskandar, adalah sesuatu yang malang apabila pemerintah, khususnya Umno-BN, lebih sanggup melihat rakyat buta sejarah berbanding memaknai kemerdekaan dengan penghayatan sejarah yang mendalam.

Tegas beliau, inilah akibatnya apabila nasionalisme ditakrifkan sebagai ‘BarisanNasionalisme’, bukan sayangkan negara mendahului hal-hal yang lain.

“Justeru, dalam sambutan Syawal, di saat umat Islam umumnya meraikan hari kemenangan, semangat yang sama juga harus dipupuk di kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda berbilang kaum, untuk terus melakukan reformasi dengan memaknai kemerdekaan melalui pemahaman sejarah yang betul sekali gus memperbetulkan ‘ketaatan membuta tuli’ kepada ketaatan yang bijak,” kata beliau lagi.

Malah tegas beliau, realitinya tanah air ini telah bebas daripada penjajahan British dan kuasa asing, tetapi masih terbelenggu dengan mentaliti politik sempit tajaan Umno-BN.

“Semoga ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 akan datang, akan menyaksikan Malaysia sepenuhnya merdeka, merdeka daripada anasir perkauman dan politik sempit,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: