Ahad, 11 September 2011

PAS perlu segera laksana 'negara berkebajikan'

Salhan K Ahmad


PAS perlu segera menterjemah konsep negara berkebajikan yang ditawarkan sebagai agenda parti itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid.

Katanya, konsep yang diuar-uarkan PAS itu perlu dilihat sebagai alternatif yang kukuh untuk ditawarkan kepada rakyat dan bukan satu retorik kosong semata-mata.

"Negara berkebajikan ini mesti mempunyai pelbagai elemen yang menyentuh keperluan rakyat selain daripada agenda yang telah dibentangkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya, masih banyak ruang yang belum diisi dalam konsep negara berkebajikan, lebih-lebih lagi untuk kumpulan sasar golongan muda dan wanita.

Konsep yang akan diketengah sebagai manifesto PAS dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 itu juga perlu mencakupi kelompok rakyat terbawah seperti petani dan nelayan seperti soal keselamatan makanan dan juga keperluan asas lain, katanya lagi.

"Kalau rakyat ingin diyakinkan dengan tawaran PAS, ia jangan dilancarkan secara prinsip umum. Ia mesti mempunyai perincian untuk jawab segala maasalah yang dihadapi rakyat, terutama dalam keperluan seharian rakyat

"Sangat perlu negara berkebajikan ini dinyatakan sebagai suatu pakej menyeluruh kepada masalah negara ini termasuk model pembangunan secar amikro yang akan dilaksanakan nanti seperti pembangunan bandar.

"Begitu juga soal reformasi tanah. Ini adalah isu asasi dalam model pembangunan, saya nyatakan bahawa rakyat akan susah untuk terima wawasan ini kalau ia tidak dipakej dengan baik," katanya.

Negeri yang telah ditadbir PAS seperti Kelantan dan Kedah mesti segera menterjemah konsep berkenaan bagi meyakinkan rakyat, katanya lagi ketika diminta mengulas kandungan ucapan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merasmikan konvensyen berkenaan hari ini.

Abdul Hadi antara lainnya berkata, kejayaan konsep negara berkebajikan yang dibawa oleh PAS itu boleh dilihat apabila tiada kes penyelewengan atau rasuah berlaku ketika parti itu memerintah di Kelantan, Kedah dan juga di negeri Terengganu dan Perak sebelum ini.

Azmi pula berkata perbezaan yang hendak dilihat dalam konsep negara berkebajikan itu tidak semdah andaian yang dikemukakan Abdul Hadi.

"Antara yang saya perhatikan, dari segi konsep itu sangat indah tapi sepeti yang dibuat BN, kepincangan sering berlaku pada peringkat pelaksaan, sebagai contohnya Dasar Ekonomi Baru.

"Demikian juga tema ini dalam contoh yang dinyatakan persiden, tapi mekaniske pelaksaanannya adakah ada perbezaan berbanding negeri lain?

Katanya lagi, PAS tidak boleh menganggap bahawa semua agensi kerajaan akan terus patuh sebaik mereka menjadi kerajaan.

Malah, banyak kes kelembapan berlaku di peringkat kerajaan tempatan seperti di Kelantan dan Kedah sebelum ini, dakwanya.

"PAS kena faham kerenah ini. Selama 54 tahun mekanisme BN berjalan, banyak kepincangan berlaku. Tapi mereka sudah terlazim untuk terima kepincangan itu. Jadi untuk terima yang baru belum tentu boleh dilaksana," katanya lagi.

Selain Azmi, turut tampil sebagai pengulas dalam konvensyen berkenaan ialah ketua penerangan PKR Dr Muhammad Noor Manuty manakala naib presiden PAS Salahuddin Ayub bertindak sebagai pembentang

Tiada ulasan: