Sabtu, 10 September 2011

Pandangan Melayu muda tentang politik perkauman

Moaz Nair, Malaysia Chronicle

Terdapat satu trend pemikiran baru di kalangan generasi muda di negara dalam pemikiran politik mereka. Mereka tidak berfikiran lapuk dan ini merupakan petanda baik untuk persekitaran sosial dan politik kita sekarang.

British memerintah Tanah Melayu selama hampir dua abad (1774-1957) dan kami melihat konsep masyarakat berbilang kaum yang tidak begitu padu dan berjaya pada masa itu. British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan peruntukan bahawa kaum-kaum utama boleh mengusahakan satu jalan penyelesaian yang baik untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negara ini. Orang-orang Cina dan India telah diberikan hak kewarganegaraan dan orang Melayu telah dikurniakan dengan hak-hak istimewa mereka seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan. Hak-hak kaum-kaum lain juga dilindungi di bawah Perlembagaan. Orang Melayu, India, Cina bersama-sama dengan orang-orang Asli telah menjadikan Malaysia rumah mereka walaupun nenek moyang mereka adalah orang asing.

Ia adalah satu generalisasi yang dibuat oleh beberapa ahli-ahli politik bahawa generasi muda tidak mempunyai cita-cita dan visi untuk negara. Ini anggapan yang salah dan menuntut analisa teliti demi mendapatkan gambaran sebenar dan alasan kukuh. Generasi muda melihat bahawa cara yang ideal untuk menyatu-padukan rakyat adalah melalui proses persekolahan.

Ahmad Mustapha (21), seorang pelajar tahun satu universiti tempatan berpendapat: "Saya dilahirkan sebagai orang Melayu . Saya hanya berpeluang untuk bergaul dengan rakan-rakan dari bangsa lain setelah mendaftar di universiti ini. Saya melihat banyak nilai-nilai murni dalam diri mereka. Saya rasa sistem pendidikan kita mempunyai kelemahan. Semua rakyat Malaysia harus melalui satu sistem pendidikan tunggal. Kita semua harus belajar di sekolah yang berbilang kaum. Sentimen keagamaan di sekolah juga tidak membantu. Simpan agama sebagai perkara yang peribadi. Tidak perlu sekolah atau universiti yang wujud hanya untuk satu kaum. Kanak-kanak semua kaum hendaklah diambil kira sama sebagai rakyat Malaysia. Saya rasa bahawa sekolah kebangsaan perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk menarik lebih ramai rakyat berbilang kaum. "

Kegagalan sistem pendidikan

Setelah kemerdekaan sekolah-sekolah vernakular di negara ini dikekalkan dan banyak orang Cina, India dan Melayu luar bandar memilih sekolah-sekolah ini untuk pendidikan anak-anak mereka. Semakin lama, sekolah kebangsaan tidak dilihat sebagai neutral oleh ramai ibu bapa dan juga kurang Islam oleh orang Melayu. Maka, rancangan untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk memasuki sekolah kebangsaan menjadi usaha sia-sia. Kepada generasi muda, mereka merasakan bahawa kerajaan yang berkhidmat telah gagal untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan muktamad di negara ini. Malangnya, beberapa ahli politik yang taksub - berkemungkinan untuk meneruskan hayat politik mereka - masih lebih suka menjurangkan pendidikan di negara ini dan membuat banyak sekolah eksklusif untuk satu kaum sahaja. Generasi muda yang menyedari kelemahan dalam sistem pendidikan kita ini tidak sependapat dengan pemikiran ahli-ahli politik.

Generasi muda juga seolah-olah menjadi lebih liberal mengenai politik. Mereka jarang bercakap tentang hak-hak dan keistimewaan mereka kerana mereka menyedari bahawa persaingan yang sihat dalam kehidupan adalah lebih baik untuk seseorang itu mencapai kecemerlangan dalam kerjayanya. Mereka berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia yang dilahirkan di negara ini harus dianggap sebagai satu bangsa.

Arshad Iqbal (23), seorang eksekutif muda Melayu dengan sebuah syarikat Jepun berkata: "Saya tinggal di Amerika Syarikat selama empat tahun. Saya belajar di sana. Seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Amerika Syarikat secara semulajadi menjadi warganegara yang sah di sisi undang-undang negara. Dia adalah seorang warga Amerika. Dia menikmati hak-hak rakyat seperti mana-mana orang lain yang dilahirkan di sana. Bangsa dan agama bukan isu nasional tetapi dianggap perkara yang peribadi bagi seseorang individu. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerja ke arah ini untuk melihat bahawa politik tidak mencemari bangsa dan agama.Jauhkan diri daripada semua isu-isu yang memecah-belahkan dan dalam berilah hak yang sama rata kepada semua. "

Hampir 68 peratus rakyat Malaysia yang muda adalah keturunan campuran dan asal usul mereka dapat dikesan ke Kepulauan Melayu, India, China, negara-negara Arab dan di tempat lain. Mereka inilah yang merasakan bahawa politik perkauman tidak membantu Malaysia menjadi negara yang harmoni. Walaupun pelbagai budaya yang mereka warisi, mereka bangga dipanggil rakyat Malaysia. Mereka merasakan bahawa hanya dokumen-dokumen rasmi mereka yang membezakan mereka daripada orang lain. Mentaliti mereka adalah semua rakyat Malaysia sama sahaja.

Alias Diwan (25), seorang saintis muda yang berkerja dengan sebuah institusi penyelidikan tempatan berkata: "Saya milik ICC (Identity Crisis Club). Saya menghadapi krisis identiti apabila saya tinggal di negara ini, tetapi saya tidak sedikitpun peduli. Ibu saya Melayu dan ayah saya India. Saya juga mempunyai nenek sebelah ibu berbangsa Cina dan memeluk agama Islam. Tunangan saya berasal dari Sabah dan dia Kadazan. Saya tidak prejudis terhadap mana-mana kaum dan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Saya mempunyai ramai kawan yang keturunan campuran, samada Melayu, Cina, India dan saya boleh bergaul dengan mereka dengan selesa.

Generasi muda keturunan campuran

Politik yang berasaskan kaum dan agama dianggap sebagai kuno oleh generasi muda. Ia dilihat tidak praktikal memandangkan begitu banyak dalam generasi mereka adalah keturunan campuran. Sebagai keturunan campuran, mereka mempunyai ikatan yang lebih baik dengan orang yang berlainan kaum dan mereka merasakan bahawa rakyat Malaysia perlu dilayan sama rata tanpa mengira bangsa mereka, fahaman, agama atau politik. Mereka merasakan bahawa semua rakyat Malaysia perlu mengasah bakat yang ada pada diri dan diakui oleh kerajaan demi membawa kemajuan kepada negara. Rakyat Malaysia yang mempunyai bakat tersendiri perlu digalakkan untuk tinggal di negara ini dan tidak halau hanya kerana fahaman agama yang berbeza.

Rizal Anuar (24), seorang profesional yang bekerja dengan syarikat kejuruteraan asing berkata: "Kami generasi muda merasakan bahawa ahli-ahli politik cuba meracuni fikiran kita dengan taktik politik memecah belah. Ini yang kita rasa tidak berfaedah kepada minda muda. Saya mempunyai ramai kawan-kawan dari semua kaum. Ahli-ahli politik berkepentingan peribadi ini tidak menyumbang kepada rakyat dengan cara mereka berpolitik. Mereka hanya asyik dengan diri sendiri. Mereka ini berfikiran sempit."

54 tahun telah berlalu sejak merdeka dan lebih 95 peratus orang Melayu, India dan Cina sekarang dilahirkan di negara ini. Mereka yang dilahirkan di negara ini dan dianggap sebagai warganegara harus mendapat hak yang sama. Ini adalah impian generasi muda masa kini.

Mereka yang lahir dan dibesarkan di negara ini tidak tahu apa-apa tentang tanah air nenek moyang mereka tetapi mengenali negara ini. Mereka tidak mempunyai negara lain , tidak seperti nenek moyang mereka yang datang ke negara ini suatu masa dahulu. Generasi muda dilahirkan di sini dan mempunyai kesetiaan kepada negara ini sebagai tanah air mereka. Mereka semua berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk melihat Malaysia berjaya. Mereka belajar bahasa kebangsaan walaupun mereka bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Lingua franca atau bahasa yang digunakan untuk komunikasi sosial bagi mereka masih bahasa Melayu. Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pelbagai budaya tetapi mereka tetap mempunyai kewarganegaraan yang sama.

Alvin Chong (23), seorang pakar optik berkata: "Walaupun saya tidak dapat bertutur bahasa Melayu dengan fasih kerana tinggal di England sejak berusia 12 tahun untuk belajar tetapi sekarang, lebih 90 peratus daripada komunikasi saya dengan pelanggan saya adalah dalam bahasa Melayu. Saya menghargai bahasa itu. Saya menggunakan bahasa itu kerana ia adalah bahasa kebangsaan kita. "

Generasi muda Cina dan India hari ini - termasuk orang-orang yang datang dari negara-negara jiran sebelum merdeka merupakan rakyat generasi ketiga atau keempat Malaysia. Mereka telah berkembang dan mewarisi identiti Malaysia yang unik. Lahir dan dibesarkan di sini, mereka tidak menunjukkan kesetiaan kepada negara-negara nenek moyang mereka. Malangnya, beberapa ahli-ahli politik berpandangan sempit lebih suka mengabaikan hakikat ini demi percaturan politik mereka sendiri dan kepentingan diri sendiri.

Bukan Melayu tidak harus dianggap sebagai rakyat kelas kedua

Generasi muda bukan Melayu sekarang tidak seharusnya dianggap sebagai rakyat kelas kedua oleh mana-mana kaum lain di negara ini demi kepentingan politik. Mereka telah jelas menunjukkan kesetiaan mereka kepada negara ini. Mereka telah belajar bahasa kebangsaan dan kesetiaan mereka kepada Raja dan negara tidak boleh dipersoalkan. Mereka berpegang kepada nilai-nilai yang sama dan bersama-sama menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka telah mempertahankan negara terhadap anasir-anasir jahat yang tidak diingini pada masa lalu demi keamanan dan kemakmuran negara. Ramai yang telah terkorban demi mempertahankan negara yang tercinta ini. Orang-orang sebegini tidak seharusnya dilabel sebagai warganegara kelas kedua.

Generasi muda mempunyai pandangan yang lebih positif mengenai masa depan Malaysia. Mereka lebih terdedah kepada maklumat dan mereka telah melihat kejayaan dan kegagalan multikulturalisme di banyak negara lain. Mereka umumnya menangkis politik perkauman. Inilah generasi rakyat Malaysia yang bijak dan tidak akan dipengaruhi oleh propaganda media tempatan yang memaparkan isu-isu perkauman dan agama yang memihak kepada kerajaan semata. Mereka mempunyai visi mereka sendiri tentang apa yang boleh membentuk sebuah negara yang progresif dalam suasana berbilang kaum. Mereka cenderung untuk tidak memihak kepada ahli-ahli politik yang menggunakan bangsa dan agama untuk mendapat ganjaran politik. Bagi mereka Ini jelas kepura-puraan dan kejahilan. Generasi muda mempunyai toleransi yang lebih tinggi dan ingin melihat satu sistem yang menyeluruh seperti parti politik yang mewakili semua rakyat tanpa mengira bangsa atau agama mereka. Mereka bercita-cita untuk Malaysia sesuai untuk semua individu.

Apabila media pro-kerajaan menanam sentimen bangsa dan agama, kita lihat anak-anak muda yang berpendidikan dari semua kaum bergaul bebas walaupun terdapat perbezaan yang wujud antara mereka. Ahli-ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan menggunakan isu-isu perkauman dan agama untuk mendapat sokongan dari golongan-golongan rakyat tertentu sedang menghadapi kehilangan sokongan. Inilah ahli politik yang kurang bijak dan akan ditolak oleh pengundi muda. Matlamat mereka hanyalah politik adalah memecah belah yang dilakukan untuk kekal relevan dalam politik.

Sudah tentu sesetengah ahli politik kita tidak memainkan peranan yang betul untuk melihat jurang antara kaum dan agama tidak berleluasa di negara ini. Generasi muda benci kepada pendekatan ini dan tidak akan menyokong pendirian tersebut - Inilah petanda yg kerajaan sedia ada tidak lama lagi akan kehilangan cengkaman kuasa mereka.

Pilihan yang lebih baik dalam politik

Kepercayaan bahawa bangsa dan agama tidak boleh dipisahkan dalam politik Malaysia adalah melucukan. Untuk negara kita maju dalam suasana harmoni, mitos politik ini perlu diperbetulkan. Pilihan Raya Umum yang lepas (2008) menyaksikan revolusi oleh kira-kira 52 peratus pengundi yang merasakan bahawa penggunaan kaum dan agama untuk menipu rakyat tiada lagi berkesan dalam politik dan ekonomi. Pengundi muda kini mencari pilihan yang lebih baik dalam politik.

Negara sekarang memerlukan ahli politik-ahli politik yang lebih baik dan mekanisme yang boleh menghentikan perkauman dan sikap tidak bertoleransi agama. Generasi muda merupakan kuasa baru yang dapat melihat politik kaum dan agama dimansuhkan. Mereka tidak menjangkakan perubahan akan datang daripada kerajaan yang sedia ada apabila mereka mendirikan media pro-kerajaan yang asyik memutar belit dan memainkan isu-isu perkauman dan agama untuk tujuan membahagikan rakyat. Mereka semua sedar bahawa lebih banyak serangan daripada pihak media, generasi muda akan terus mengasingkan diri mereka daripada ahli- ahli politik ini.

Parti politik yang boleh mengenepikan sentimen perkauman dan agama akan menjadi parti yang memerintah negara ini pada masa akan datang. PAS sebagai sebuah parti yang dikuasai oleh Melayu dan umat Islam setakat ini telah menunjukkan jalan yang betul dan berkesan ini. DAP yang pernah dilihat sebagai sebuah parti hanya untuk orang Cina kini diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Ini adalah kuasa politik yang disegani pada masa hadapan untuk membawa perubahan kepada pentadbiran negara ini.

Negara ini telah banyak berkembang dalam sejarah tetapi dari segi politik, kita telah gagal untuk mencapai sesuatu yang ideal untuk sebuah negara yang progresif selepas 54 tahun kemerdekaan. Kita masih lagi terbahagi dari segi politik. Masih terdapat beberapa ahli politik yang masih mahu melibatkan diri dalam politik sempit dari segi agama atau kaum atas risiko sendiri. Beberapa ahli politik telah gagal di mata rakyat rakyat disebabkan oleh cara mereka berfikir dan menguruskan isu-isu negara yang dihadapi oleh generasi muda. Inilah yang membawa kepada paradigma baru dalam politik Malaysia. Apabila yang sedia membuat kesilapan sebegini, rakyat akan bersungguh-sungguh mencari platform alternatif dan ia mengaharapkan sebuah kerajaan alternatif yang boleh meletakkan semua isu-isu negara di landasan yang betul untuk memenangi hati rakyat Malaysia.

Pada masa akan datang, kita mungkin akan melihat generasi rakyat yang dengan bangganya akan memanggil diri mereka rakyat Malaysia dan bukan Melayu, Cina, India, Orang Asli atau Lain-lain. Ini adalah impian generasi muda kita dan ahli politik tidak boleh mengabaikannya.

Tiada ulasan: