Jumaat, 2 September 2011

Nuklear: Pakatan persenda langkah Putrajaya ‘buru’ firma PR


KUALA LUMPUR - Kepimpinan pembangkang mempersenda langkah terbaru Putrajaya yang didakwa mahu mendapatkan khidmat firma perhubungan awam bagi membina sokongan kalangan rakyat berhubung projek pembinaan loji nuklear sebagai tenaga alternatif.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pendedahan bahawa kerajaan telah pun menyenarai pendek tiga firma bagi tujuan tersebut menunjukkan pentadbiran Najib masih bimbang mengenai bentuk berbanding fungsi langkah-langkah diambil pihaknya.

“Ia dengan sendiri cakap mengenai pentadbiran Najib. Ia hanya mengenai perhubungan awam,” kata beliau The Malaysian Insider.

Adun Seri Setia ini menambah, meskipun adanya siri berita-berita, yang kelihatan positif, mengenai program pembaharuan diumumkan oleh perdana menteri, tetapi hanya beberapa pembaharuan yang telah diterjemahkan ke dalam bentuk dasar.

Kata beliau, ia satu ujian kepada kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seakan “Tom, Dick and Harry” boleh melantik firma-firma perhubungan awam untuk mengubah ketrampilan sedangkan pembaharuan yang sebenar memerlukan iltizam politik.

“Lihat pada isi, pembaharuan, tidak banyak. Hanya banyak cakap . . . mudah untuk cakap tentang banyak benda, tetapi rumit apabila hendak melaksanakan perkara yang betul,” kata Nik Nazmi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata kerajaan seharusnya sedar tentang rasa tidak puas hati orang ramai mengenai logi tenaga nuklear yang disyorkan, yang juga tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan Malaysia ada potensi besar untuk tenaga alternatif.

“Ada alternatif tenaga yang lain seperti petrol dan arang batu, buat masa sekarang,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Katanya, Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu ini, yang menarik perhatian publik dan pembangkang, pada sesi Parlimen yang bermula bulan depan.

Kelmarin, The Malaysian Insider memetik laporan Holmes Report berkata, kerajaan Malaysia sedang mencari sebuah agensi perhubungan awam untuk membantu membina sokongan orang awam terhadap usaha Putrajaya mengadakan tenaga nuklear — sumber tenaga alternatif menjelang tahun 2013.

Laporan itu mendakwa Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia, sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, telah menyenarai pendek tiga firma untuk membantu menjalankan kerja-kerja perhubungan awam projek yang sensitif itu.

Beberapa pihak telah pun membantah usaha mengadakan loji tenaga nuklear di negara ini.

Pada Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Akhir Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi.

Langkah itu katanya, juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik sudah lama menjadi pilihan beberapa negara luar berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga membebankan pengguna.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: