Ahad, 25 September 2011

Minda pemimpin Umno masih terjajah

Oleh Dinsman


ALHAMDULILLAH, rakyat Malaysia kini semakin hari semakin sedar akan perkara-perkara mana yang benar dan perkara-perkara mana yang salah di negara tanahair mereka ini.

Selama ini mereka hanya fikirkan di negara-negara seperti Palestin dan Afghanistan sahaja ada pemimpin yang diangkat oleh penjajah bagi mengawal kepentingan penjajah supaya berkekalan, dan dalam masa yang sama mengelirukan rak yat tentang siapakah pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat di negara berkenaan.

Rupa-rupanya di negara kita inipun ada juga perkara demikian.

Alhamdulillah, tentunya Mohamad Sabu sendiri pun tidak menjangka yang ucapannya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos yang menyentuh soal tragedi di Bukit Kepong itu akan berlarutan hingga sampai ke peringkat seperti sekarang ini. Pelbagai pihak cuba menggali dan membongkar semula segala khazanah sejarah yang berkaitan, untuk melihat dan memikirkan semula yang manakah yang benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat negara ini dan yang manakah yang sebaliknya.

Hinggakan seorang profesor dari Majlis Profesor Negara itu pun boleh tersasul dengan bangganya mengumumkan bahawa negara kita ini sebenarnya tidak pernah dijajah. Amboi, macam nak berlawan pula dia dengan Mat Sabu, nak tunjuk siapa lebih hebat memberi tafsiran baru kepada sejarah Malaysia.

Negara kita tak pernah dijajah, katanya. Maka apabila negara tak pernah dijajah, dengan sendirinya terbatallah segala dakwaan yang mengatakan golongan tertentu menentang ejen-ejen atau talibarut penjajah, kerana penjajah itu sendiri tidak ada.

Maksudnya, dalam tragedi di Bukit Kepong itu, dakwaan yang mengatakan Mat Indera berjuang untuk negara dan dia bukannya menyerang polis yang menjaga keselamatan negara tetapi dia menyerang polis yang menjadi ejen dan talibarut penjajah British, itu adalah tidak sah, kerana British tidak pernah menjadi penjajah di negara ini.

Dan dengan sendirinya juga, apabila negara ini tidak pernah dijajah, maka segala upacara dan acara menyambut Merdeka yang dirayakan pada setiap tahun selama 54 tahun yang lalu itu pun semuanya adalah tidak sah, semua itu adalah salah faham semata-mata, dan semua itu adalah menunjukkan kebodohan pemimpinpemimpin kita selama ini.

Masya Allah! Demikianlah bercelarunya pemikiran mereka yang dianggap sebagai orang-orang cerdik pandai kita itu. Aduuh ... saksikanlah itu, peristiwa yang sedang terjadi di negara kita sekarang.

Betapa bercelarunya! Haru-biru tunggang langgang porak peranda habis segala nilai dan pemikiran. Apakah pertandanya ini wahai Mamak Bendahara! Apakah ini alamatnya negeri akan dilanda sang garuda raksaksa?

Tetapi mengapakah pula gerangan menteri perdananya kelihatan asyik sahaja bersanggama dengan sang permaisuri yang asyik pula mengelus-elus jemarinya yang disaluti cincin berlian berharga puluhan juta itu?

Ah, eloklah tu! Mohamad Sabu mengejutkan semua yang sedang lena diulet mimpi. Hoi, bangun, bangun!

Mari kita perkemaskan semula negeri kita ini. Sekian lama kita didodoikan dengan cerita-cerita mitos dan khurafat itu, sekarang mari kita baca semula sejarah kita. Akan para profesor yang masih mamai itu biarkanlah mereka bermamai di sana. Kita di sini ada alim ulamak dan pujangga kita sendiri.

Ya, Alhamdulillah, Allah memang sentiasa menang dengan perancangan-Nya. Dia maha bijaksana mengatur kehidupan manusia.

Setiap sesuatu itu terjadi tepat pada waktu dan ketikanya. Teringat saya kepada surah Yusuf (al-Quran surah ke-12), bagaimana Allah menegaskan dan menunjukkan dengan jelasnya bahawa Dia-lah (Allah) yang mengatur segala kejadian, Dia-lah yang berada di sebalik segala kejadian yang terjadi.

Maka demikianlah pula kita sangat berharap, dalam keadaan yang sangat baik dan berpihak kepada kita ini, agar para pemimpin kita berhatihati dan bijak mengatur langkah.

Saya menerima banyak sekali respons daripada pembaca (melalui SMS, telefon dan emel) yang menyatakan sekarang mereka baru sedar dan nampak siapakah yang berada di pihak yang benar dan siapakah di pihak yang salah; siapakah sebenarnya yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara dan siapakah yang berjuang untuk kepentingan diri dan kroni.

Kepada mereka yang bertanya dan memohon untuk mendapatkan novel Tulang- Tulang Berserakan (TTB) karya Usman Awang yang saya perkatakan dalam keluaran lalu itu, saya mohon maaf kerana belum berjaya mendapatkan novel tersebut. Khabarnya ia tidak terdapat lagi dalam pasaran dan perlu dicetak semula. Insya-Allah saya akan run dingkan dengan pihak yang berkenaan untuk mencetak-ulangnya.

Sementara itu ada seorang pembaca yang memberi maklumat, katanya: “Nak tahu lebih lanjut tentang peranan polis zaman British, selain Tulang- Tulang Berserakan sila baca novel TUGU karya Hasan Ali. Kisah mata-mata yang menjaga estet orang putih di Kota Tampan, Lenggong. (Kampung Ong Ka Teng).” (Hasan Ali yang dimaksudkan ini juga me nulis novel Musafir).

Dan pembaca itu juga mencadangkan dalam SMS-nya: “Kalaulah saudara boleh buat kajian kerjasama Force 136 dan PKM dalam perang gerila MPAJA.”

Saya tidak tahu apa maksudnya dalam cadangannya itu. Dan saya pun tidaklah bercadang untuk membuat kajian tersebut buat masa ini.

Ada pula pembaca yang mengemukakan satu soalan mudah: “Orang yang menjadi ejen dan talibarut Jepun kita marah dan tuduh mereka sebagai pengkhianat bangsa. Tetapi mengapa orang yang menjadi ejen dan menjaga kepentingan British di negara kita tidak kita anggap sebagai talibarut British dan pengkhianat bangsa?”

Tentunya saya tak perlu menjawab soalan mudah tersebut. Walau bagaimanapun, dalam memikirkan perkara ini saya teringatkan pada isu PPSMI dan ketaksuban sebahagian orang-orang kita kepada penggunaan bahasa Inggeris. Bukankah itu bukti bahawa para pemimpin Umno-BN adalah orang-orang yang minda dan jiwanya masih “terjajah”.

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@ yahoo.com.my atau SMS 019-9592408

Tiada ulasan: