Oleh Abd Shukur Harun
PERINGATAN yang sangat wajar telah diberi oleh Sasterawan Negara, A Samad Said (Pak Samad) bahawa tanpa media alternatif, akhbar ‘arus perdana’ akan menjadi gangster. Ini satu peringatan yang sangat penting kepada para pengamal media alternatif bahkan rakyat yang merasakan perlunya kebebasan media.
Pak Samad merasakan pentingnya memberikan pandangan ini setelah melihatkan demikian merosotnya kebebasan media di negara ini dan lebih mengerikan melihat media ‘arus perdana’ sejak akhirakhir ini muncul dengan watak yang sangat menakutkan, ‘menyerang’ apa saja sasaran yang difikirnya boleh diserang untuk kepentingan tuannya tanpa apa-apa perkiraan.
Pada pendapat saya media yang digelar ‘arus perdana’ selama ini sebenarnya bukanlah lagi boleh digelar demikian. Justeru dengan berkembangnya ‘media online’ dan sejenisnya yang diperoleh melalui langit terbuka IT, maka media ‘arus perdana’ itu bukan lagi pilihan utama pembaca dan penonton. Oleh itu ia hanya wajar digelar ‘media tradisional’.
Namun, ada hujah pula mengatakan bahawa gelaran ‘media tradisional’ itu tidak tepat, kerana konotasi ‘tradisional’ dalam pengertian budaya Melayu ialah hal-hal yang asli, jujur, bersih, beradab, memiliki moral yang tinggi, disayangi dan dikenang lama. Sedangkan apa yang terserlah sekarang tidak memiliki semuanya itu. Tetapi istilah ‘tradisional’ sendiri sering dikaitkan dengan ‘ketinggalan zaman’.
Kita sedang berbicara mengenai kebebasan akhbar atau media keseluruhannya. Ia adalah unsur penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi. Namun, pendapat popular mengiringinya bahawa kebebasan media mestilah diiringi pula dengan rasa tanggungjawab.
Kebebasan dalam erti kata lain adalah keupayaaan sesebuah akhbar menyampaikan maklumat atau suara hati masyarakat tanpa sebarang kawalan atau pengaruh pihak tertentu secara langsung atau tidak langsung, terutama kerajaan . Bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan berbeza mengenai sejauh mana sesebuah akhbar perlu bebas menyampaikan sesuatu maklumat atau isu.
Namun, apapun pandangan yang berbeza, maklumat yang benar mestilah disampaikan kepada rakyat dan ini adalah keadilan untuk semua, di mana keadilan itu adalah paksi utama di dalam Islam seperti yang diungkapkan melalui pelbagai surah di dalam al-Quran.
Dalam hal ini apabila media dimiliki oleh sesuatu parti yang memerintah maka ia menjadi masalah yang sangat besar. Dalam sejarah Malaysia sejak merdeka 54 tahun lalu, masalah ini tambah meruncing.
Saya memahami kekecewaan Pak Samad yang menyeru masyarakat, khususnya golongan muda, supaya menyokong sumbangan media alternatif yang dilihat memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini.
Sasterawan Negara itu berkata, kewujudan media alternatif dapat menjadi pengekang kepada ‘media arus perdana’ yang semakin ‘samseng’.
“Saya fikir sumbangan akhbar alternatif ini mesti disokong kerana hanya melalui akhbar alternatif kita mendapat gambaran yang lebih berimbang, memungkinkan kita untuk menentukan apa sikap kita,” katanya.
Katanya lagi: “Saya dapati bahawasanya tanpa media alternatif, akhbar arus perdana akan menjadi gengster.” Beliau berucap merasmikan pelancaran kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kempen ini dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa bertemakan ‘Baca Dan Banding’.
Pak Samad berkata, media alternatif sangat sesuai untuk generasi muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
“Saya fikir media alternatif ini lebih untuk anak-anak muda, rakan-rakan kita yang lebih berilmu,” katanya.
Memang benar media ini belum sampai ke desa-desa secara meluas, tapi beliau berpendapat yang diperlukan ialah kelompok anak muda yang berilmu pengetahuan dan anak-anak muda inilah nanti yang akan berlegar dan akan sampai ke merata ceruk untuk memperjelas apa yang berlaku di negara ini.
Katanyanya, tidak menjadi suatu kerugian jika tidak membaca media ‘arus perdana’ kerana laporannya hanya menyokong kerajaan dan beliau mengakui sudah hampir satu tahun beliau tidak membaca akhbar ‘arus perdana’.
Sementara itu, tidak syak lagi bahawa menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti, ‘perang siber’ antara media alternatif dengan ‘media tradisional’ dalam melaporkan kempen pilihan raya dan isu-isu berbangkit akan menjadi sengit dalam mendapatkan pengaruh pembaca.
Sementara ‘media tradisional’ lebih banyak berlegar di kalangan penduduk luar bandar - kerana di situlah pembacanya yang setia - media alternatif akan menarik perhatian rakyat bandar atau semi bandar. Dalam hal ini, dengan banyaknya kawasan desa dibangunkan menjadi semi bandar maka ini mengundang sama kedatangan media alternatif.
Dengan itu secara alaminya, sumber baru maklumat melalui internet ini sudah semakin meluas. Dengan sendirinya ‘media tradisional’ kelihatan bukan lagi memiliki ‘kuasa’ monopoli menyampaikan maklumat yang boleh membentuk pemikiran rakyat umumnya.
Generasi muda tentunya tidak lagi berminat dengan maklumat daripada sumber tradisional ini. Mereka mempunyai banyak sumber maklumat dan menyebabkan riuhnya susana PRU ke-13 nanti.
Dalam hal ini mulai sekarang pengamal media alternatif mestilah menyediakan infrastruktur yang lebih canggih supaya media ini kelihatan berdaya saing, malah boleh menewaskan ‘media tradisional’.
Infrastrukturnya mestilh diperkasa, perancangan jangka pendek dan jangka panjang perlu disusun dan ini perlu diutamakan. Wartawannya mestilah dilatih secukupnya supaya memiliki tahap prorfesional dan kemahiran yang secukupnya agar tidak memiliki rasa rendah diri di tengahtengah media moden sekarang.
Persembahan beritanya metilah terkini, lengkap dengan fakta, bukan rekaan, pantas dan sempurna. Sementara penulis rencananya juga mestilah memiliki ciri-ciri profesional yang tinggi. Semuanya itu memerlukan pembacaan yang banyak dan pendedahan yang luas oleh wartawannya. Dalam hal ini kursus kewartawanan perlulah diutamakan dan dilakukan secara berterusan.
Kesimpulannya, media alternatif perlulah memperkasa dirinya supaya ia menjadi pilihan utama rakyat, seperti apa yang diharapkan oleh Pak Samad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan