Ahad, 11 September 2011

Mat Sabu, NGO dan laporan polis

Oleh Haris Zuan


Menjelang sambutan Kemerdekaan & Hari Malaysia seluruh negara terasa kemeriahannya. Tapi kali ini tidak hanya dirayakan secara tipikal dengan melekatkan Jalur Gemilang bersubsidi di kenderaan dan premis masing-masing tetapi disemarakkan dengan isu pejuang kemerdekaan sebenar.

Oh, ya, ketika tulisan ini disiapkan, isian semula prabayar untuk semua rangkaian telefon mudah alih dikenakan cukai sebanyak 6 peratus. Mungkin ini juga termasuk dalam acara sambutan Merdeka.

Mat Sabu – maaf, memperkenalkan siapa beliau hanya akan menghina popularitinya kini – menarik perhatian seluruh warga dengan mengangkat semula tokoh Mat Indera, sebagai pejuang kemerdekaan.

Pastinya ini membikin ribut yang tidak kecil, khususnya di stesten RTM dan TV3, Mat Sabu yang cool ini dihentam semahunya tanpa ada ruang untuk mempertahankan pandangannya. Malangnya, makin dihentam, makin tinggi pula minat warga untuk menyemak kembali dakwaan Mat Sabu ini.

Terima kasih Facebook dan Tweeter

Sikap media kawalan kerajaan UMNO-BN ini sangat mudah untuk dijelaskan; sejak tahun 1957, kerajaan telah mengekslusifkan sambutan kemerdekaan sebagai perayaan mengenang jasa UMNO dan BN (dulunya Perikatan) memerdekakan Tanah Melayu, dan tiba-tiba Mat Sabu mengoncang tradisi ini lalu membuka wacana yang lebih segar dan real tentang merdeka.

Malangnya, sebagaimana maklum, wacana bukan budaya UMNO-BN, maka segala ruang yang ada cuba dikawal dan dihadkan. Terima kasih pada Facebook dan Tweeter.

Dalam pada itu, percakapan Mat Sabu ini mendapat reaksi yang berbeza dalam kalangan mereka yang kelihatannya tidak mendapat manfaat dengan kenyataan Mat Sabu ini.

Entah bagaimana, kini seakan menjadi budaya ikutan yang sangat fashionable untuk mengaku sebagai NGO – kumpulan pendesak, ahli masyarakat sivil – dan membuat puluhan malah ribuan laporan polis, kemudian berdemontrasi kecil di hadapan balai lengkap dengan sepanduk, dihangatkan pula dengan ucapan yang sebahagiannya sangat dangkal, sesak dengan retorik serta kadang-kala separuh mengugut.

Kegemparan dan kegilaan apakah ini? Mana hujah dahulunya yang mengatakan bahawa demonstrasi itu merosakkan imej negara? Kini, Persatuan Bekas Polis dan Tentera juga turut melakukan unjuk rasa. Selangkah untuk demokrasi.

Ya, sebagai kelompok yang mengaku sebagai daripada warga yang prihatin, menjadi hak mereka untuk menyuarakan bantahan dan kecaman terhadap isu yang mereka rasakan menggugat kepentingan segmen masyarakat yang mereka wakili.

Proses politik waras

Namun, mari kita bertanya dengan penuh kewarasan dan rasa sedar, bagaimana siri laporan polis ini membantu proses politik negara?

Dalam teori penglibatan aktif warga (participatory citizenship), kelompok sivil seharusnya berperanan mencetuskan minat awam terhadap isu yang bersangkutan dengan kepentingan umum, menggerakkan wacana-wacana dalam medan yang rasional dan seterusnya membina pandangan awam (public opinion) terhadap isu tersebut.

Melalui proses politik ini, maka masyarakat akan menjadi lebih peka, matang, dan ini pastinya akan membantu mereka menentukan sikap terhadap isu yang dipolemikkan.

NGO dan elemen masyarakat sivil lainnya – sebagimana dalam teori demokrasi liberal – penting untuk menjambatani masyarakat yang rencam (pluralistic) dan terpencar (fragmented) untuk berinteraksi dan menjernihkan isu secara kolektif – bukan hanya disuapkan dengan pandangan elit politik melalui media kawalan mereka sahaja.

Zygmunt Bauman memudahkan huraian ini dengan merumuskan peranan aktif warga ini sebagai “seni menterjemahkan permasalah individu kepada isu awam, dan kepentingan bersama kepada hak dan tanggungjawab individu”.

Dialog, bukan kecaman atau laporan polis

Baiklah, kini mari kita tanyakan, Apakah NGO yang tidak diketahui jelas aktiviti lain mereka kecuali ghairah menebalkan fail laporan polis dan mengeluarkan kenyataan kecaman menjalankan peranannya sebagai penggerak masyarakat?

Semangat dan kesungguhan mereka mahu terlibat dalam polemik nasional yang dicetuskan oleh pandangan Mat Sabu harus dipuji dan dirayakan.

Namun, kelihatannya peranan kumpulan pendesak konsevatif ini hanya terhenti setakat siri laporan polis dan marah-marah yang tidak jelas hujung pangkalnya.

Malah, seolah-olah, mereka ini hanya berminat untuk meraih publisiti murahan dengan menahan lukah di air keruh. Semoga tuduhan ini tidak benar.

Selain Ketua Pemuda UMNO yang ada inisiatif untuk berdebat dalam isu ini – sungguhpun kurang kena gayanya – tidak ada organisasi lain yang lantang mengecam Mat Sabu mahu berdialog, diskusi atau berforum sebagaimana Free Public Forum Malaysia (FPF) yang menganjurkan forum di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor.

Maka, besar harapan agar wacana yang dicetuskan Mat Sabu ini berkembang subur dan membantu mematangkan cara fikir seluruh warga.

Apa yang paling penting, bukan untuk mengangkat siapa-siapa, tapi setidaknya, marilah kita berusaha berlaku adil dengan sejarah bangsa kita – bangsa Malaysia. – Roketkini.com

Nota: Baru-baru ini Majlis Profesor Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, hanya dinaungi British.

Tiada ulasan: