Khamis, 22 September 2011

Konsep 1Malaysia jejaki nasib Islam Hadhari

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Berbeza berbanding slogan 1Malaysia, konsep Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan di Kelantan dua tahun lalu lebih mudah difahami rakyat.

Sejak dilancar pada April 2009, 1Malaysia belum mampu memberi kefahaman jelas kepada masyarakat sehingga promosi terpaksa dilakukan secara berterusan melalui media elektronik.

Malah konsep 1Malaysia dilihat menjadi semakin kabur mungkin menjejaki nasib Islam Hadhari yang kini berkubur tanpa batu nisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, rakyat lebih faham dengan pendekatan Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan di Kelantan.

“Rakyat boleh faham konsep itu menyebabkan mereka bersungguh-sungguh melaksanakan kerja di samping amanah dan menaruh pengharapan kepada Allah swt.

“Kita nak suruh faham dan ini berlainan dengan slogan 1Malaysia. Apa yang boleh kita faham, dan kalau pun kita faham namun apakah yang kita dapat dengan 1Malaysia.

”Tetapi apabila kita menyebut Bertani Satu Ibadah menjadikan rakyat Kelantan lebih dekat dengan amalan agama biar pun sibuk mencari rezeki di mana sahaja,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini petang semalam.

Sidang media itu diadakan sempena program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan 2011 yang bermula 21 September hingga 2 Oktober ini.

Program dwitahunan itu diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV. Tema tahun ini ‘Bertani Satu Ibadah Pemangkin Kecemerlangan Pertanian Kelantan’.

Lebih 100 usahawan tani termasuk dari negara jiran serta 35 gerai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan berkaitan pertanian menyertai program berkenaan.

Che Abdullah berkata, penghayatan rakyat terhadap Bertani Satu Ibadah semakin diterima meluas sekarang.

Namun anehnya kata beliau apabila ditanya kepada pelajar sekolah, konsep 1Malaysia tidak ramai yang mampu memberi jawapan.

Tiada ulasan: