Selasa, 6 September 2011

AIDILFITRI, ANGPAU DAN KAKI ‘PAU’

RONTOG DAILY.COM


Mungkin ada yang tak bersetuju kalau dikatakan Aidilfitri sekarang ini telah menjadi medan yang cukup baik untuk melahirkan Melayu/Islam yang gila berpolitik dan gila minta projek.

Tetapi itulah kenyataannya. Tengoklah macam mana anak-anak dan adik-adik kita beraya. Kegembiraan mereka menyambut raya bukanlah sekadar dapat berpakaian baru dan makan serba aneka kuih muih macam budak-budak lima enam dekad yang lalu. Sebaliknya mereka didorong oleh satu kegembiraan lain; tak sabar-sabar nak kutip duit raya – istilah yang semakin mesra kita sebut angpau.

Di kampung mahu pun bandar, pengukur arasnya sama. Rumah yang menjadi tumpuan kebanyakan budak-budak ialah yang diketahui tebal angpaunya. Kalau yang bagi duit syiling, jawabnya mungkin sekali singgah sahaja. Tahun depan tak didekati lagi.

Bapa dan emak saudara, atau handai taulan lain pun begitu. Yang nipis angpaunya lambatlah sikit dicium tangan, malah mungkin juga tak dicium langsung. Lain halnya dengan yang berangpau tebal. Silap-silap dicium berpuluh kali.

Begitulah. Cara mereka melayan orang yang bagi banyak dengan yang bagi sikit berbeza. Sama macam orang politik juga.

Yang lebih menarik, ada kumpulan kanak-kanak ini bergerak dari rumah ke rumah bukan untuk beraya pun dalam erti kata sebenar. Sekadar singgah sebentar, kadang-kadang hanya di muka pintu atau di depan pagar. Dapat angpau saja mereka beredar tanpa menjamah makanan dan minuman.

Yang lebih daring, main sua tangan minta angpau tak kira daripada sesiapa saja yang ditemuinya di mana-mana. Asal pakai baju Melayu, siap ler… Sama macam gurkha-gurkha politik.

Dari setahun ke setahun itulah nilai yang ditanam, disemai dan digunapakai oleh anak-anak itu. Dari setahun ke setahun mereka bertambah membesar, manakala tempat mereka diambil alih silih berganti oleh adik-adik generasi kemudian yang meneruskan amalan yang sama.

Suatu masa anak-anak itu akan menjadi remaja dan dewasa. Waktu itu nilai-nilai yang ditanam telah cukup subur di dalam dirinya. Sebahagian mereka kemudian akan menjadi pemimpin atau orang-orang di sekeliling pemimpin, manakala selebihnya menjadi orang yang dipimpin.

Di antara mereka, sebahagian besarnya akan terus mencari ‘angpau’, manakala sebahagian yang lain mungkin ‘pau’ sana dan ‘pau’ sini.

Mereka itulah yang memeriahkan dunia politik kita; sama sebagaimana budak-budak memeriahkan hari raya…-HM

Tiada ulasan: