Khamis, 15 September 2011

Isma gesa kerajaan tegas kuat kuasa halang Syiah

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mahu pihak berkuasa bersikap tegas dengan menguatkuasakan fatwa bagi menjamin kesejahteraan akidah umat Islam di negara ini daripada pengaruh ajaran Syiah.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma Mohamad Ismail berkata, sebuah artikel dalam majalah yang diterbitkan di Najaf, Iraq, bilangan orang Melayu yang menyertai Syiah adalah seramai 30,000 sehingga 35,000 orang.

“Gerakan Syiah ini juga memiliki markas atau pusat gerakan yang dikenali sebagai Hauzah Ar-Redho di seluruh negara termasuk di Kedah, Gombak dan di Kelantan. Di Johor terdapat empat hauzah Syiah,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, mereka menggunakan isu cinta ahli bait sebagai kunci untuk menarik umat Islam menyertai mereka.

Berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan 5 Mei 1996, aliran Syiah telah diwartakan sebagai bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Kata beliau, Isma terus komited dan bersungguh-sungguh dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya ajaran Syiah.

Isma setakat ini telah menjalankan 16 program kefahaman bahaya Syiah di seluruh negara bermula Mei lalu, katanya.

“Isma telah menjalankan 16 program ceramah dan diskusi dalam tempoh lima bulan dan ini membuktikan Isma serius dalam memberi kefahaman tentang kesesatan akidah Syiah,” kata Mohamad.

Ketika ditanya berkenaan bukti kesesatan akidah Syiah, Mohamad berkata, “kita boleh menemui kesesatan akidah Syiah terkandung dalam buku-buku tulisan tokoh-tokoh Syiah sendiri.”

Menurut beliau, pengikut Syiah kini semakin agresif dalam menyebarkan aliran mereka. Pada 17 Disember 2010, pihak Jais telah menyerbu hauzah di Gombak dan telah menahan 200 orang yang menghadiri majlis yang diadakan di situ.

Pada 25 Mei lalu, empat pemimpin Syiah telah ditangkap oleh Jais kerana telah cuba menarik keanggotaan ahli baru. Mereka ditangkap semasa diadakan majlis meraikan kelahiran Saidatina Fatimah di Gombak.

Pada 25 Ogos pula, Jabatan Agama Islam Melaka telah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka yang dipercayai menjadi markas sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah.

Sebanyak 35,000 buku dan risalah Syiah yang diharamkan ditemui dalam keadaan siap dibungkus untuk diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan kerajaan.

Mohamad tidak menolak kemungkinan usaha Syiah di Malaysia disokong dan dibantu oleh rakyat Iran yang menetap di Malaysia.

Tiada ulasan: