Beliau berkata sehubungan itu mana-mana pihak terutama parti politik tidak seharusnya menggunakan isu perlaksanaan hukum Islam untuk meraih sokongan pada musim pilihan raya sahaja.
JITRA: Perlaksanaan hukum Islam (hudud) bukanlah bermusim, sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara berterusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata sehubungan itu mana-mana pihak terutama parti politik tidak seharusnya menggunakan isu perlaksanaan hukum Islam untuk meraih sokongan pada musim pilihan raya sahaja.
“Apabila berbicara soal hudud, kita kena faham skop… bukan hanya cakap-cakap retorik, tapi kena ada perlaksanaan.
“Dalam perundangan negara, kita sentiasa ingin lihat Mahkamah Syariah berkembang seiring dengan mahkamah lain dan perjalanan ini memerlukan penyatuan umat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata semua umat Islam perlu mengetepikan pegangan sempit dalam konteks parti, puak atau kaum demi kepentingan sesuatu pihak.
Katanya umat Islam harus bersatu untuk melihat transformasi agama di negara ini serta menerima semua hukum dan cari hikmah yang baik di sebaliknya.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, arangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud, jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini
Tutp mulut
“Inikah demokrasi yang diperjuangkan mereka? Semua mesti tutup mulut?” kata beliau di Bentong ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam agar pemimpin pakatan pembangkang mengunci mulut berhubung isu itu dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga satu pendirian rasmi dibuat pada mesyuarat khas esok.
Perbalahan antara pembangkang timbul apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas dilaporkan berkata hukum hudud akan tetap dilaksanakan di negeri itu tetapi ini dibantah keras oleh Pengerusi DAP Karpal Singh.
Shafie berkata pakatan pembangkang terdiri DAP, PAS dan PKR sentiasa berkata mereka memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun mereka sendiri sebenarnya menyekat hak untuk bersuara bagi anggota mereka.
“Sistem demokratik apakah ini? Mereka sebelum ini begitu lantang di Parlimen kononnya memperjuangankan kebebasan bersuara, tetapi hakikatnya mereka tidak boleh duduk semeja pun untuk membincangkan isu berkenaan,” katanya.
Shafie berkata rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa pakatan pembangkang tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan dan kemakmuran di negara ini.
“Dalam isu ini pun mereka gagal mencari kata putus dan sering bertelagah,” katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan