Kalau saya boleh cadangkan satu judul buku untuk siri penerbitan Buku Fixi yang diterajui saudara Amir Muhammad, saya ingin supaya "Ilusi" menjadi terbitan seterusnya. "Ilusi" akan mengisahkan misteri kematian Ahmad, seorang pegawai kastam yang dituduh terima rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ringkasannya pada kulit belakang akan berbunyi:
"Ahmad, 56, dijumpai berlumuran darah di gelanggang badminton kompleks bangunan SPRM. Dia baru sahaja datang mengunjung pagi itu, tujuannya ke mari tidak pasti. Yang diketahui, Ahmad seorang pegawai Kastam yand disyaki terbabit dalam kes rasuah. Dia baru dilepaskan dari tahanan satu malam dalam lokap dan sesi soal siasat oleh SPRM. Baginya, pengalaman semasa dalam tahanan ibarat neraka di atas bumi. Kini, kematian Ahmad dalam premis SPRM menjadi mimpi ngeri isteri dan keluarga tersayang.
Realiti hidup Ahmad sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab tiba-tiba menjadi ilusi. Realiti kejadian semasa Ahmad berada di SPRM pada hari malang itu akan dipadamkan dari rekod kamera litar tertutup buat selama-lamanya. Realiti kematian Ahmad akan terpendam, sekali gus diputuskan sebagai suatu nahas akibat cubaan untuk melarikan diri. Pergelutan berlaku antara ilusi dengan realiti, antara yang benar dengan yang palsu, dan antara keadilan dengan kezaliman."
Malang sekali, Ahmad Sarbaini Mohamed bukan watak rekaan semata-mata, misteri kematiannya juga bukan hasil imaginasi penulis ini. Namun, bagi pembaca yang mengikuti perkembangan inkues Ahmad Sarbaini yang selesai hari kelmarin, misteri ini belum selesai sungguhpun koroner Aizatul Akmal Maharani memutuskan bahawa Allahyarham terjatuh selepas cuba keluar dari tingkap pantri tingkat tiga bangunan SPRM.
Mengapakah Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap tingkat tiga? Kata koroner selepas mendengar keterangan saksi dan meneliti bukti, Allahyarham mungkin sedang melarikan diri daripada ditahan semula oleh SPRM dan dalam proses itu tersilap menganggar jarak antara tingkap dengan bumbung yang menjadi destinasi dirancang. Kesilapan Ahmad Sarbaini itu dikatakan hasil suatu fenomena ilusi optik, ataupun keadaan di mana imej visual pada mata kasar berbeza dengan realiti objektif.
Peguam mewakili SPRM, Muhammad Shafee Abdullah (gambar kiri) melahirkan rasa gembira dengan keputusan inkues atas sebab keputusan tersebut "dapat membersihkan sebarang salah laku di kalangan pegawai SPRM". Namun, tiada sebab untuk SPRM bersorak riang sekarang, kerana dalam jangkamasa dua tahun yang lepas, sudah dua nyawa (termasuk mendiang Teoh Beng Hock) terkorban dalam bangunan mereka.
Perkara ini merupakan realiti yang tidak akan hilang, tanpa mengira ilusi yang cuba digunakan untuk mendaifkan mereka yang masih mencari kebenaran.
Kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini tidak harus dilihat berasingan. Keputusan inkues Ahmad Sarbaini yang diselesaikan kelmarin sebenarnya mirip dengan keputusan inkues Teoh Beng Hock. Dalam keputusan inkues itu, koroner tolak bahawa mendiang Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh tetapi juga menyingkirkan kemungkinan dia membunuh diri. Namun, selepas penyiasatan oleh satu Suruhanjaya DiRaja, kematian Teoh Beng Hock dikatakan kes bunuh diri yang terpaksa.
Inkues Ahmad Sarbaini lebih kurang sama keputusannya, kerana kematian yang dikatakan "nahas" oleh koroner tiada elemen pembunuhan mahupun bunuh diri. Persoalannya, adakah suatu Suruhanjaya DiRaja pula akan sekali lagi membongkar maklumat baru mengenai kematian Ahmad Sarbaini? Mampukah 22 jam rakaman kamera litar tertutup bangunan SPRM yang dipadamkan muncul semula?
Koroner dalam kedua-dua inkues Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kelakuan pegawai SPRM dan keadaan di mana bukti fizikal boleh dihilangkan dengan begitu mudah sekali. Bukankah sesuatu yang perlu disyaki apabila 22 jam rakaman pada hari kejadian itu hilang begitu sahaja? Teoh Beng Hock sudah mati berjam-jam semasa masih dalam jagaan SPRM, barang peribadinya seperti telefon bimbit dan dompet masih dipegang SPRM apabila tragedi itu terjadi, tetapi SPRM menipu dan bertegas bahawa mendiang Teoh sudah dilepaskan dan sendiri mahu berlegar di premis mereka.
Persoalan di atas tidak diberi pertimbangan yang setimpal, tetapi teori yang melepaskan SPRM daripada sebarang tanggungjawab diterima dengan mudah, lantas diulangi hampir kata demi kata. Ingat, teori hanyalah pandangan yang tidak atau belum dibuktikan dengan kukuhnya. Maka, jika sesuatu teori itu dijadikan keputusan sesuatu kajian atau siasatan tanpa disokong bukti dan hukum logik, perkara itu hanya suatu ilusi.
Di anjung SPRM, ilusi dan realiti saling bergelut. Apakah motif sebenar Teoh Beng Hock dipaksa ikut SPRM ke pejabat mereka untuk disoal siasat? Apakah dakwaan RM2,500 disalahguna majikannya hanya ilusi optik? Mengapakah telefon bimbit Ahmad Sarbaini diambil jika dia bukan dalam tahanan? Ilusi optik juga? Oh ya, rakaman kamera litar tertutup juga hilang kerana ilusi optik.
Mengapa begitu sukar untuk perkara yang benar menang dalam pergelutan ini? Sukar sangatkah sistem pengadilan kita mencari dan menafsir realiti suatu peristiwa? Sebaliknya, kita lebih cenderung bergantung kepada penjelasan yang berasaskan ilusi, imaginasi, dan konspirasi.
Rakyat Malaysia mahukan negara yang bersih daripada rasuah dan penyelewengan. SPRM mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan perkara ini suatu realiti dan bukannya terus bermain dengan ilusi. Berbagai-bagai persoalan sudah dilemparkan tetapi belum dijawab. Kerajaan Jerman sudah mulakan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud, tetapi bagi SPRM, ini mungkin ilusi optik juga. Di Perancis, mahkamah sedang menyiasat kes pembelian kapal selam scorpene oleh negara Malaysia. Ilusi optik lagi? Apakah tidak ada seorang pun dalam SPRM yang mengenali dan ingin mendampingi realiti?
Apakah SPRM juga ilusi optik semata-mata? Apakah harapan rakyat supaya suatu badan yang bebas, bersih, dan professional untuk membanteras gejala rasuah tidak kesampaian, lantas jatuh berkecai atas lantai? Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock sudah tiada. Jadikanlah tragedi mereka tragedi kita bersama. Jangan biar ilusi terus mengaburi mata kita.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Selasa, 27 September 2011
Di anjung SPRM, ilusi dan realiti saling bergelut
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan