Sabtu, 10 September 2011

Bukit Kepong: Umno pula dakwa PAS parti lahir kerana ‘kecewa’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Sementara kontroversi berkaitan kenyataan tragedi Bukit Kepong dan pejuang kemerdekaan berterusan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) mendakwa PAS sebagai sebuah parti ditubuhkan atas “rasa kekecewaan.”

Katanya, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kedua-duanya komponen Pakatan Rakyat, ditubuhkan ekoran rasa kecewa pemimpin terdahulu.

“Ini hakikat bahawa PAS juga adalah parti yang ditubuhkan atas rasa kekecewaan seperti juga Parti Keadilan (PRK) yang ditubuhkan oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim kerana kecewa tak dapat kuasa,” katanya dipetik dalam satu rencana siaran Utusan Malaysia hari ini.

Anwar dipecat dari jawatan kerajaan dan Umno pada September 1998, sekali gus membawa kepada gelombang reformasi dan kelahiran PKR.

Sejak 15 hari lalu, pemimpin-pemimpin Umno terus menyerang PAS dan timbalan presidennya Mohamad Sabu kononnya mengagung-agungkan komunis dalam ceramahnya di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu menafikan ada mengagungkan komunis dan memberi tempoh 24 jam yang berakhir semalam kepada Utusan Malaysia, media Umno untuk memohon maaf atau menghadapi tindakan mahkamah.

Mohamad mendakwa Utusan Malaysia memutarbelitkan kenyataannya.

Dalam satu kenyataan semalam, PAS juga menegaskan ia menolak ideologi komunis dan perjuangan komunis.

Mengulas lanjut kata Tengku Adnan, Mohamad perlu memahami sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

“Mat Sabu pun lupa sejarah bagaimana PAS ditubuhkan iaitu apabila Tuan Haji Ahmad Fuad yang merupakan Pengerusi Biro Agama Umno atau Pekembar bila kalah bertanding dengan (bekas presiden Umno dan perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj); maka kecewa dan keluar dari Umno.

“Beliau pergi ke Gunung Semanggol tubuhkan Hizbul Muslimin yang hari ini adalah PAS. Ini sejarah,” katanya lagi.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mengingatkan Mat Sabu supaya menghentikan segera ungkapannya yang berkaitan dengan sejarah negara jika tidak tahu tentang fakta sebenar dan buta mengenainya.

“Kalau dah jadi buta sejarah, dah tak tahu apa yang nak dibuat untuk dapatkan kuasa maka inilah jadinya. Dulu mereka pergunakan agama dan sekarang ini putar belitkan sejarah.

“Sebelum ini mereka sebut mahu negara Islam tapi kemudian hendakkan negara kebajikan dan sekarang mereka mendewa-dewakan pula bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan negara ini,” katanya lagi.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, ini semua akan merosakkan, menghancurkan perpaduan dan menidakkan sejarah yang sebenarnya telah tertinta dalam negara.

Dalam tulisan hari ini, Tengku Adnan juga dipetik menegaskan, sejarah tidak boleh diubah dan hakikatnya komunis ketika itu hendak mengambil kuasa daripada pihak British dan juga orang Melayu.

“Nauzubillahi minzalik, kalau komunis memerintah negara kita barangkali kita bukan Islam malah tak taulah parti Islam itu wujud atau tak,” katanya.

Semalam, PAS menjelaskan pendiriannya dalam isu sejarah kemerdekaan hari ini menerusi lapan perkara, antara lain menegaskan, Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah.

“Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah,” katanya.

Tiada ulasan: