Sabtu, 5 Mac 2011

Zahid tak telus umum pembelian RM6 bilion kapal TLDM

Ditulis oleh Edi Suleiman



PETALING JAYA : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mahu Menteri Pertahanan Datuk Zahid Hamidi memberi butiran telus mengenai peruntukan RM6 bilion untuk memberli kapal peronda TLDM.

Tony berkata sebagai seorang menteri bertanggungjawab, Zahid tidak boleh meletakkan harga setiap kapal pada RM1bilion tanpa memberi keterangan lanjut dan mengharapkan semua pihak akan menerimanya tanpa soal.

"Sebagai ahli Parlimen bertanggungjawab kepada wang rakyat, Kita tanyalah yang sepatutnya , saya tanyalah apa jenis kapal, yang dibeli, RM 1 Billion setiap satu, bukan satu yang murah," katanya.

"Bila saya bertanya kepada Menteri Pertahanan, mengenai Tentera Laut nak beli Kapal Peronda berjumlah RM 6 Billion. Tapi Menteri tak bagi butir terperinci, hanya kata RM 6 Billion untuk 6 kapal dan RM 2 Billion untuk vendor tempatan. Tapi dia tak beritahu apa jenis kapal yang hendak dibeli, " ujarnya.

Menurut Tony, Kementerian Pertahanan sebelum ini telahpun terlibat dengan pembelian 'meragukan' seperti Kapal Selam Scorpene, pembelian Kereta Perisai bernilai RM 31 juta setiap satu dari DRB Hicom tahun lalu, selain skandal kehilangan enjin jet F5 AE

Malah pembelian kapal peronda TLDM sebelum ini turut mendatangkan keraguan apabila PSC Industries Bhd. (PSCI) yang bertanggungjawab membina kapal itu gagal menyebabkan ia diambil alih Boustead Holdings dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

Pengerusi PSCI sebelum itu Tan Sri Amin Shah dilaporkan melarikan diri ke Dubai dan beliau diisythiar muflis di negara ini beberapa tahun lalu. Ironinya, antara syarikat yang terlibat dalam tempahan dan pembelian Kapal Peronda kali ini ialah Boustead sendiri.

"Dulu beli kapal peronda harganya RM 4.5 Billion, kontrak diberikan kepada syarikat kroni. Sekarang saya percaya enam kapal ini tak boleh siap dalam masa yang ditentukan.

"Perkara ini bukan dikritik oleh Pembangkang, tapi oleh Lembaga Audit Negara milik Kerajaan. Dia kritik Kementerian Pertahanan kerana penyelewengan berlaku kerana kerja kerja belum siap, wang sudah bayar," katanya.

Menurut Tony lagi, ini merupakan cara pengurusan ekonomi kerajaan BN yang hanya akan menyebabkan negara ini makin mengalami kerugian.

"Ini cara BN menjalankan pengurusan ekonomi di negara kita. Kita tak tahan lagi. Semua wang dibazir melalui rasuah, penyelewengan, komisyen dan melalui pembelian alat-alat yang tak perlu. Apa yang rakyat perlu tak diberi. Sebab itu kita kena berubah dan selamatkan Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: