Sabtu, 19 Mac 2011

Warga emas jadi mangsa kekejaman

SINAR HARIAN ONLINE


IPOH – Seorang warga emas yang juga pesara tentera ditemui hampir rentung dipercayai dibakar setelah dibunuh di rumahnya di Jalan Ampang Baru 4, Ampang Baru dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat Ho Choong Fah, 84, ditemui sepasukan bomba yang bertugas memadamkan kebakaran rumah mangsa sekitar 1.50 pagi setelah kerja memadamkan kebakaran selesai dilakukan.

Menurut Shukri, siasatan mendapati mangsa yang tinggal bersendirian turut mengalami kecederaan pada bahagian �leher dipercayai dilakukan penyerang yang turut cuba membakar rumahnya.

“Difahamkan, pihak bomba dan penyelamat menerima laporan mengenai kebakaran itu sekitar 9 malam.

“Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudiannya bergegas ke lokasi dan menemui mayat Choong Fah terbaring di atas katil sebuah bilik di rumah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Shukri berkata, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan agar segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 052451500, bagi membantu siasatan.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan menunggu laporan bedah siasat mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.

Tiada ulasan: