Khamis, 24 Mac 2011

Video Seks: Polis Ambil Keterangan Rahim, Eskay

Ditulis oleh Edi Suleiman

Polis sedang merakamkan kenyataan daripada bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung tayangan video seks.

Menurut wartawan yang berkumpul di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, kedua-dua mereka dilihat tiba pada kira-kira jam 5 petang tadi.

Kedua-dua mereka dikatakan akan memberikan sidang akhbar selepas pertemuan dengan polis.
Wartawan Malaysiakini menghubungi Eskay pada kira-kira jam 5.55 petang dan beliau mengesahkan sedang berada di Bukit Aman bersama dengan Rahim.

Semalam, Rahim, Eskay dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim, mengakui mereka adalah 'Datuk T' yang di belakang tayangan video lucah berkenaan.

Shuib, bagaimanapun dipercayai di luar negeri dan dijadualkan diambil kenytaannya esok.

Adalah dipercayai salinan asal video berkenaan juga mungkin diserahkan kepada polis pada perjumpaan hari ini.

Sebelum ini, pegawai khas Rahim - Ghazali Zainal berkata bekas ketua pemuda Umno itu bersedia memberikan kenyataan kepada polis jika diminta berbuat demikian.

Katanya, Rahim enggan mengulas lanjut berhubung video berkenaan selepas pertemuan dengan media, petang semalam.

Ketiga-tiga individu itu yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'Datuk T', telah menayangkan video lucah itu kepada beberapa wartawan tertentu di hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Sehari kemudian, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis selepas menafikan beliau adalah lelaki yang didakwa dalam video tersebut.

Sementara itu, Eskay ketika dihubungi wartawan Malaysiakini pada kira-kira jam 5.55 petang tadi berkata beliau dan Rahim masih berada di Bukit Aman.

Beliau menjangka proses mereka memberi keterangan kepada polis akan selesai sebelum jam 9 malam ini. -malaysiakini

Tiada ulasan: