Rabu, 9 Mac 2011

Uthayakumar : Keputusan Mahkamah Berat Sebelah

TVS NEWS



SHAH ALAM : Penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar menyifatkan penolakan permohonan saman fitnah beliau terhadap bekas ketua polis negara dan peguam negara adalah keputusan berat sebelah.

Bercakap kepada Tv Selangor, Uthayakumar berkata, jika ketidakadilan dari segi perundangan boleh berlaku kepada individu yang arif tentang perundangan seperti dirinya, tidak mustahil orang awam lebih mudah diperdayakan.

"Ini adalah satu ketidakadilan, saya sebagai seorang peguam yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dan kalau perkara ini boleh berlaku, apatah lagi keadilan kepada rakyat biasa yang tidak terbela,"katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan saman fitnah, Uthayakumar terhadap bekas ketua polis negara dan peguam negara berhubung dakwaan mereka bahawa beliau terbabit dengan pertubuhan pengganas.

Dalam penghakiman hari ini, 2 daripada panel tiga anggota itu memutuskan kenyataan berkenaan ditujukan kepada Hindraf dan bukannya Uthayakumar.

Bagaimanapun hakim Hishamudin Mohd Yunus yang tidak bersependapat berkata kenyataan yang diterbitkan oleh akhbar The Star pada 15 Disember yang memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan merujuk Uthayakumar mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas.

Mengulas lebih lanjut, uthayakumar berkata, jika hal seperti ini berlarutan ia akan mengakibatkan institusi kehakiman di negara ini menjalankan pembelaan yang tidak adil.

"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini merupakan satu lagi tamparan kepada kebebasan sistem kehakiman di negara ini tidak berjalan dengan betul,"ujar beliau.

Tambahnya lagi, walaupun Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan ini, namun peguam beliau M Manoharan akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Peguamcara saya akan memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari ke Mahkamah Persekutuan. Kami menjunjung tinggi keputusan Mahkamah Rayuan hari ini,"katanya.

Tiada ulasan: