Rabu, 2 Mac 2011

Tuan Ibrahim : Turunkan Harga Gula, Itu Tugas Kerajaan Pusat

TVS NEWS


SHAH ALAM : Tanggungjawab menurunkan harga gula adalah tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan Barisan Nasional selaku kerajaan persekutuan dan bukannya tugas Pakatan Rakyat (PR).

Demikian tegas Pengarah Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, sekiranya diberi peluang mentadbir negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) negara, Pakatan Rakyat tidak akan keberatan untuk menurunkan harga gula.

Jelas Tuan Ibrahim, program tawaran harga gula murah yang dilakukan PAS adalah salah satu mekanisme kempen yang dilaksanakan Pakatan Rakyat dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

"Sepatutnya sebagai menteri, beliau (Ismail Sabri) berasa bangga mencabar pembangkang untuk menurunkan harga sebab tanggungjawab untuk turunkan harga ini adalah tanggungjawab kerajaan, bukan tanggungjawab parti pembangkang. Ada pun tindakan yang dibuat oleh PAS dalam konteks DUN Kerdau, kita melihat bahawa kita memberi tawaran harga istimewa gula kepada pembeli-pembeli bagi meringankan bebanan dalam konteks penduduk setempat," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, program kempen berkenaan dilihat membuahkan hasil, malah mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.

Program yang dijalankan ini adalah sebagai satu 'isyarat' atau peringatan kepada kerajaan Persekutuan supaya memandang serius soal bebanan kos hidup rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencabar PAS menjual gula pada harga lebbih rendah di negeri pemerintahan PR.

Tiada ulasan: