Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
"Tanah ini umpama nyawa kami" ayat inilah yang menjadi ratib dan telahan kata setiap masyarakat di Sarawak dalam mengungkap soal tanah dalam kehidupan mereka.Isu tanah adat (NCR) di Sarawak sangat mencengkam setiap mata hati rakyat, dari bandar hingga ke pedalaman dari darat ke pesisir laut dan sungai.
Sarawak sebuah negeri yang sebenarnya kaya dengan sumber alamnya, dari gas dan petroleum hingga kepada balak dan paling mudah dilihat ialah tanah yang luas yang semuanya pada bila-bila masa boleh dirampas oleh rejim Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Kanun Tanah Sarawak meskipun digubal kononnya dalam semangat untuk memberikan hak kepada rakyat Sarawak, namun aplikasinya mudah dimanipulasi terutama dalam pemerintahan Taib Mahmud.
Kedudukan kekayaan Taib Mahmud tidak terbanding dengan semua hasil di Bumi Sarawak ini di bawah perkiraanya untuk dari masa ke semasa diagihkan kepada kaum kerabat serta kroninya.
Sejak 30 tahun lalu, rakyat di Bumi Kenyalang ini berdepan dengan isu milikan tanah yang tiada jalan penyelesainya memandangkan status tanah, meskipun bergeran, ianya masih boleh dirampas kerajaan untuk tujuan tertentu.
Paling menyedihkan, tiada peruntukan masa dan nilai pampasan ditetapkan dalam Kanun Tanah Sarawak bagi memastikan setiap kali berlakunya pengambilan tanah, setidaknya kerajaan tidak menzalimi pemilik tanah.
Bak kata Naib Presiden PAS, wujudnya jurang ini adalah kerana kegagalan pengurusan ekonomi negeri yang dipandu oleh seorang pemimpin yang hidupnya cukup mewah hasil dari merampas hak rakyat.
Soal hak tanah adat hanya menjadi 'omongan kosong' dalam kempen pilihan raya oleh wakil rakyat BN yang tidak akan tertunai sampai bila-bila.
Rakyat dibiarkan terus menderita dengan dasar dan manipulasi kanun tanah yang mudah bagi kerajaan untuk menikmati keuntungan dengan rampasan tanah mengikut selera penjajah kapitalis.
Rakyat yang duduk dan mengusahakan tanah sejak berpuluh tahun lamanya, malah sejak daripada zaman nenek moyang mereka lagi tidak pernah mendapat jaminan yang 'boleh dipegang' hatta melalui undang-undang.
Kehidupan rakyat di Sarawak umpama merempat di bumi sendiri, pemerintahnya boleh melakukan sesuka hati untuk mengumpul kekayaan walaupun dengan mengorbankan tanah yang dianggap rakyat sebagai 'merentap nyawa' mereka sendiri.
Hanya dengan perubahan dan keberanian untuk menjatuhkan kerajaan zalim dari terus berkuasa seperti kata AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman mampu melarikan masyarakat di sini dari kesengsaraan yang berpanjangan.
Ubah dengan jangan lagi memberi kuasa kepada Taib Mahmud, rakyat perlu tukar kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang boleh menjamin keadilan kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan