Sabtu, 19 Mac 2011

Taib akan ketuai BN pilihan raya DUN Sarawak

BERNAMA

SERIAN— Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau akan mengetuai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi bagi memastikan pemimpin baru dapat mengambil alih pentadbiran dengan baik.

“Saya akan ketuai pilihan raya negeri bagi memastikan pemimpin baru dibimbing, yang boleh membentuk satu pasukan dan boleh bekerja untuk negara,” katanya pada pelancaran program “Sejiwa Senada” peringkat bahagian Kota Samarahan di sini hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan penjawat awam dengan pusat sehenti turut disediakan untuk memberi perkhidmatan segera kepada rakyat.

Taib (gambar) berkata langkah beliau itu bagi memastikan usaha membangunkan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi dan membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat diteruskan walaupun kepimpinan negeri bakal bertukar.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata biarpun satu hari kelak beliau akan bersara daripada menyandang jawatan yang dipegangnya hampir 30 tahun itu, beliau mahu melihat kualiti hidup rakyat Sarawak terus meningkat di bawah kepimpinan baru negeri akan datang.

“Ini cita-cita saya. Satu hari nanti saya akan pergi juga. Saya sudah tua dan saya tidak mahu cita-cita saya mati bersama saya,” katanya.

Taib berkata cita-cita itu turut didukung oleh pemimpin-pemimpin negeri Sarawak yang seangkatan dengan beliau yang mahukan pemimpin-pemimpin baru nanti meningkatkan perkhidmatan mereka demi untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet persekutuan dan negeri, termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tiada ulasan: