Ahad, 20 Mac 2011

SPR tiada kuasa adakan referendum Kg Baru

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa mengadakan sebarang referendum seperti yang dicadangkan oleh majlis penduduk Kampung Baru berhubung rang-rang pembangunan semula kawasan penempatan itu, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Kelmarin, Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru mencadangkan agar satu referendum diadakan bagi menentukan sama ada pemilik tanah bersetuju dengan Putrajaya untuk membangunkan kawasan tersebut di bawah satu akta baru.

Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi berkata SPR merupakan badan ideal untuk mengadakan referendum kerana dilihat berkecuali.

Jelas beliau pungutan suara itu penting jika kerajaan “benar-benar mahu mengetahui” bentuk pembangunan yang penduduk mahukan di kawasan berkenaan.

Justeru, menurut Abdul Aziz, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan referendum kerana tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan peraturan badan itu.

“SPR tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang SPR untuk menjalankan apa-apa referendum.

“SPR adalah satu badan bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh terlibat dalam kes seperti referendum Kampung Baru,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkat (SMS) kepada The Malaysian Insider.

Shamsuri juga berkata langkah mengadakan referendum itu bagi mengelakkan perebutan di kalangan pewaris yang kemungkinan menyokong parti-parti politik tertentu.

Secara purata ada lima pemilik bagi satu-satu lot dan ada kemungkinan lebih dalam kes-kes tertentu.

Bagaimanapun beliau mengakui proses referendum itu bukan mudah kerana ia akan mengambil masa sehingga setahun untuk selesai.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider sebelum ini, Shamsuri berkata pihaknya masih optimistik usaha membangunkan semula kawasan penempatan berusia 111 tahun itu akan menjadi kenyataan tetapi akan memakan masa yang panjang daripada dijangkakan.

Pentadbiran itu melahirkan pendirian ini di sebalik langkah Putrajaya menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 untuk bacaan kali kedua ekoran bantahan pemilik dan pewaris tanah.

Undang-undang itu membuka laluan kepada pembentukan sebuah perbadanan, yang awalnya dikatakan akan menggantikan MAS dan kuasa mutlak menteri dan imuniti daripada pendakwaan, tetapi ditentang keras oleh banyak pihak.

MAS melahirkan pandangan itu memandangkan soal membangunkan semula Kampung Baru sudah lama diperkatakan — lebih tiga dekad lalu - tetapi berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Sehubungan itu, pihak MAS mahu kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan sebelum meneruskan rancangan untuk membangunkan semula kawasan penempatan milik orang Melayu, yang termahal dan mempunyai “kuasa autonomi” itu.

Malah Ahli Parlimen Tititwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali berkata pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru memberi kata dua — tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal dan Sultan Selangor jika Putrajaya masih berhasrat membawa Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ke Parlimen.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat Jun ini.

Sepatutnya ia dibentang pada bulan ini namun ditangguhkan sehingga Jun bagi memperhalusi semula draf undang-undang itu.

Tiada ulasan: