Ahad, 6 Mac 2011

Sistem Tender Terus Tanpa Ketelusan Punca Kepentingan Rakyat Terabai, Kata Abdullah Sani

Ditulis oleh farah azila


SHAH ALAM : Sistem tender terus tanpa amalan ketelusan yang digunapakai merupakan antara punca kepincangan yang menyebabkan kroni Umno-BN memperoleh keuntungan berlipat ganda sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata sekiranya seorang mendapat projek sehingga RM23 billion, ini disifatkan sebagai projek luar biasa.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Petronas baru-baru ini mengambil keputusan mengalihkan pelaburan RM23 bilion yang sepatutnya digunakan untuk mencari gali minyak di luar negara kepada tiga syarikat tempatan.

Tambah Anwar antara syarikat yang menerima habuan itu adalah KENCANA, milik Datuk Mokhzani Tun Mahathir.

"Sepatutnya sekiranya kita ingin melebarkan keuntungan terutama untuk memajukan syarikat korporat melayu, harus diperbanyakkan dan diberikan sama rata, bukannya seorang. Sekiranya seorang mendapat projek RM20 billion, ini dipanggil projek luar biasa," katanya kepada TV Selangor.

Beliau menambah, pengawalan oleh sekelompok manusia mengakibatkan mereka yang kaya terus menjadi kaya sehingga menafikan peluang usahawan yang baru meningkat.

"Saya percaya inilah punca-punca kepincangan dan tiada pengambilan semula cukai yang terkumpul ataupun subsidi yang diberikan kepada syarikat tertentu mendapat faedah daripada urusniaga yang dilakukan oleh kerajaan, " katanya.

Ujar Abdullah Sani lagi keuntungan yang dicapai oleh syarikat Petronas sepatutnya dapat membantu rakyat namun objektif sebenar telah terpesong akibat campurtangan dan projek mengkayakan kroni terutamanya di zaman Tun Dr. Mahathir.

Segala bentuk perbelanjaan dan kewangan yang diperoleh Petronas sepatutnya dilaporkan kepada Parlimen bukannya kepada Menteri Kewangan.

"Menteri Kewangan berkuasa penuh kepada Petronas dan ini berlaku dalam negara kita. Jika kita lihat di negara Indonesia dan Brunei, mereka melaporkannya kepada Parlimen. Segala bentuk perbelanjaan dimaklumkan supaya hasil mahsul utama dapat diberikan secara telus mengikut sistem yang telah diputuskan dalam pembentukan pentadbiran yang bersih dan amanah," katanya.

Tiada ulasan: