Ahad, 6 Mac 2011

Abdullah Sani : Cedok Buku Jingga, Umno-BN Ketandusan Idea

TVS NEWS

SHAH ALAM : Tindakan pihak pemerintah Umno - Barisan Nasional mencedok idea daripada Buku Jingga yang diputuskan bersama oleh Pakatan Rakyat menunjukkan Umno-BN kian ketandusan idea dan hilang punca dalam mentadbir negara.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata amat memalukan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yaasin tidak dapat memberikan penjelasan kononnya pelaksanaan Buku Jingga boleh mengakibatkan negara muflis.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama yang dipersetujui PR yang dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lepas menggariskan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil- setara.

"Ini merupakan cakap orang yang tidak betul-betul. Saya melihat mereka kehilangan idea dan tidak ada visi kerangka dalam membantu membangunkan negara. Sebijik buku jingga yang dikritik, dibuat secara tidak bersopan dan memalukan," katanya.

Beliau menambah, dasar Buku Jingga yang diperkenalkan oleh pakatan rakyat menunjukkan pakatan rakyat bersedia untuk mentadbir negara dan memastikan semua hasil negara dikembalikan dan dinikmati oleh rakyat.

"Ini yang dinamakan sebelum perintah sudah berkerajaan. Segalanya sudah terbukti seperti yang kita lakukan di Selangor. Alhamdulillah untungnya rakyat. Jika kita mampu melaksanakannya, kita mampu ke depan dalam memberikan faedah yang cukup lumayan kepada rakyat dan kita tidak mengizinkan harta rakyat dipunggah. Keuntungan yang diperoleh negara akan kita agihkan secara keseluruhan," katanya

Abdullah Sani turut mengumumkan akan mengadakan satu konvensyen buku jingga pekerja pada 3 April 2011. Konvensyen yang bakal berlangsung ini lebih menjurus kepada usaha-usaha dalam memberikan keuntungan kepada pekerja dan memastikan hak-hak mereka selama ini dinafikan terbela.

Buku tersebut turut menggariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas PR berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi.

Tiada ulasan: