Khamis, 3 Mac 2011

Selangor Terkini-MB Gesa ADUN Umno Dikenakan Tindakan

TVS NEWS


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bagi menggesa satu tindakan undang-undang diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar tanpa permit, Selangor Terkini.

Pengakuan terbuka Ketua Penerangan Umno Selangor itu telah disiarkan portal berita, Malaysiakini dan beberapa akhbar utama lain pada 23 Februari lalu.

"Tindakan Abdul Shukor menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedarkan kalendar beliau bersama-sama akhbar Selangor Terkini yang didapati mengguna logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran," kata Khalid dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, tindakan Abdul Shukor itu memberi imej buruk terhadap wakil rakyat kerana perbuatannya itu seolah-olah menggambarkan beliau menyokong bahawa sesebuah penerbitan tidak memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Abdul Shukor kerana bersubahat mengedarkan akhbar tanpa permit dan menggunakan logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran.

Malah beliau juga sudah mengarahkan pegawainya menghantar bukti-bukti kepada pihak polis bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang telah dibuat pada 17 Januari lalu.

Oleh yang demikian, Khalid berharap Peguam Negara tidak akan menutup sebelah mata berhubung kes ini kerana Abdul Shukor memperlekehkan pentadbiran Kerajaan Selangor dan DYMM Sultan Selangor.

“Saya berharap Peguam Negara akan bertindak “tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) dalam hal ini sepertimana yang dituntut oleh rakyat dan undang-undang Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: