Jumaat, 4 Mac 2011

Selangor Peruntuk RM20 Juta Bantu Miskin Bandar

TVS NEWS


PELABUHAN KLANG : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM20 juta sebagai permulaan untuk membantu masyarakat miskin bagi kawasan bandar di negeri ini.

Usaha murni kerajaan itu dilaksakan dalam skim Mikrokredit Miskin Bandar atau Mimbar yang bertujuan membantu masyarakat miskin bandar negeri ini dengan agihan pinjaman dari RM1,000 hingga RM5,000.

Menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim ini bertujuan untuk menaiktaraf hidup rakyat Selangor selain memupuk semangat berdikari rakyat untuk terus memajukan diri dan keluarga.

“Salah satu dasar yang paling penting dalam usaha kita ialah menentukan pembangunan negeri Selangor ini dibuat secara menyeluruh iaitu tidak satu kumpulan masyarakat yang tertinggal dalam pembangunan ini.

"Tidak satu keluarga yang tertinggal dalam pembangunan ini. Itu yang penting dalam melaksanakan program pembangunan negeri Selangor,"kata Khalid ketika berucap merasmikan Program Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) di Dewan Taman Pandamar Indah 2, di sini.

Menurut Khalid, Mimbar menyediakan program pembangunan usahawan dan kerjaya kepada rakyat sebagai alternatif supaya rakyat tidak bergantung kepada mana-mana pinjaman dan subsidi.

Program ini antara lain adalah untuk membantu masyarakat miskin di Selangor untuk meningkatkan pendapatan mereka seterusnya melebili Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan negeri Selangor iaitu melebihi RM1,500 bagi seisi rumah.

Jika program ini berjaya katanya, lebih banyak peruntukan akan diberikan tetapi ia bergantung kepada penerima dalam melaksanakan tanggungjawab membayar semula pinjaman yang diberikan.

“Yang perlu dalam masyarakat yang kecil ialah pinjaman yang kecil dan pinjaman yang kecil ini tidak terdapat dalam mana-mana perbankan besar di negara ini.

"Ia hanya boleh dilakukan hanya kerana ia dianggap satu tanggungjawab sosial bukan satu tanggungjawab bisnes,"kata Khalid.

Menurut beliau, 80 peratus pemohon skim ini rata-ratanya kaum wanita dan ibu tunggal.

Turut hadir pada majlis sama ialah Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew.

Program yang dilancarkan secara rasmi semalam menyaksikan bantuan berjumlah RM3000 diberikan kepada 102 peserta yang berjaya melepasi sesi temuduga sebelum ini.

Mimbar dipengerusikan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Tiada ulasan: