Rabu, 9 Mac 2011

Saranan Buku Jingga Mansuhkan Felda Plantations Amat Tepat

Ditulis oleh shuaib ayob



KUALA LUMPUR : Tawaran PR melalui Buku Jingga yang menyebut akan menyemak dan memansuhkan Felda Plantations amat tepat untuk mengembalikan hak rakyat dan tanah milik kerajaan negeri kembali.

Dalam sidang media di Parlimen petang tadi, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata saranan PR amat relevan serta bertepatan dengan matlamat asal Felda iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

"Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan mempertegas kenyataan sebelum ini bahawa Felda Plantations adalah organisasi haram dan terbatal kerana bertentangan dengan Akta GSA 1960 yang mana status pemilikan hanya individu berdasarkan Seksyen 7(2) atau koperasi, Seksyen 11(1)," tegas beliau.

Kata beliau, dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Mazlan bahawa Felda Plantations tidak tertakluk di bawah Akta GSA hanya alasan semata-mata untuk menghalalkan tindakan kerajaan Umno-BN yang bertentangan dengan matlamat asal iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Beliau menjelaskan, Allahyaraham Tun Abdul Razak telah membentang dan menggubal Akta GSA ataupun Group Settlement Act 1960 yang memperincikan kuasa-kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang menyatakan tanah-tanah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri adalah untuk diberikan kepada rakyat dalam bentuk individu ataupun pemilikan koperasi.

Katanya lagi, Felda Plantations yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Muhammad sangat bertentangan dengan dasar yang diwujudkan oleh Allahyarham Tun ABdul Razak.

"Kerajaan pusat telah menipu dan mengkhianati kerajaan negeri kerana mewujudkan penempatan tanpa peneroka. Dasar yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1992 bercanggah dengan hasrat Tun Abdul Razak ketika beliau membentangkan Akta GSA di Parlimen pada 27 April 1960," tegas Mazlan.

Beliau seterusnya mempersoalkan, keseluruhan tanah milikan Felda Plantations yang berjumlah 360,710 hektar merupakan tanah pemberian kerajaan-kerajaan negeri, maka apa peruntukkan yang digunakan untuk memegang milikna tanah tersebut sekiranya Felda Plantations tidak tertakluk di bawah GSA seperti didakwa oleh Ahmad.

"ANAK ingin menegaskan, saya ingin mempertegaskan dan mendedahkan bahawa pengambilan tanah untuk tujuan Felda Plantations dibuat secara paksaan dari kerajaan negeri yang tidak difahami secara jelas apa maksudnya. Hujah PM yang mengatakan bahawa 51 peratus kepentingan Koperasi Permodalan Felda Bhd ada dalam Felda Plantations dan memberi dividen 14 peratus setiap tahun kepada peneroka adalah lari daripada realiti sebenar aspirasi ayahanda beliau, Tun Abdul Razak," tegas beliau.

Katanya lagi, Anak juga mencadangkan agar kesemua kerajaan negeri menyemak semula pemberian tanah kepada Felda Plantation kerana ia boleh ditamatkan dengan merujuk kepada Seksyen 44 Akta GSA.

Tiada ulasan: