KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Bhd atau Petronas bagi membayar tunggakan royalti minyak dan gas negara sejumlah RM800 juta setahun sejak 2005.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof kemudiannya menetapkan tarikh 31 Mac ini untuk membawa kembali kes ini ke bahagian komersial.
Putrajaya sebelum ini memfailkan permohonan mahu campur tangan dengan dibenarkan menjadi defendan kedua dalam kes royalti minyak yang dibawa oleh kerajaan negeri Kelantan.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa berkata, pentadbiran Najib seolah-olah mahu “membantu” Petronas agar tidak “keseorangan” menghadapi kes itu.
Kerajaan negeri Kelantan sebagai plantif telah memfailkan saman ke atas Petronas pada 30 Ogos tahun lalu kerana telah melanggar kontrak yang ditandatangani bersama dengan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri diwakili oleh peguam Tommy Thomas.
Antara relif yang dituntut adalah satu penjelasan diambil atau satu siasatan diperintahkan yang menghendaki Petronas untuk membuat pendedahan penuh dan benar berhubung semua fakta berkaitan dengan bayaran-bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan.
Ia juga termasuk tempoh dari mana petroleum telah dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan-kawasan atau blok-blok dari mana petroleum telah didapati dan diperoleh, serta jumlah bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan.
Selain itu, tuntutan ini juga memohon satu perintah supaya semua bayaran tunai pada masa hadapan hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Petronas bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti mana Perjanjian Petroleum Kelantan.
Turut dituntut lima relif yang lain, termasuk relif ganti rugi dan kos.
Saman pemula itu tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.
Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan.
Mengikut klausa kedua perjanjian, bayaran tunai itu hendaklah dibayar dua kali dalam setahun, pada atau sebelum 1 Mac, atau sebelum 1 September.
Menurut Klausa 3 pula, pembayaran tersebut hendaklah terus dibayar selama mana petroleum diperoleh dari negeri berkenaan dan tidak perlu membayar sekiranya petroleum tidak lagi diperoleh.
Dalam kenyataan tuntutan itu, kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa hak milik sumber petroleum dan hak-hak keistimewaan untuk mencari gali bukan satu pemberian kepada Petronas tanpa sebarang balasan ataupun pampasan.
Selasa, 22 Mac 2011
Royalti Minyak : Mahkamah Benar Kerajaan Jadi Defendan Kedua
TVS NEWS
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan