Ahad, 6 Mac 2011

Program tiga tahun Pakatan S'gor tumpu agenda rakyat

Salhan K Ahmad

Setiausaha kerajaan negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi hadir ke majlis sambutan tiga tahun pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor pada malam tadi dengan wajah yang tenang.

Bekas pengarah Jabatan Agama Islam yang kelihatan segak dengan mengenakan baju batik itu ditempatkan di tempat duduk utama di atas pentas majlis berkenaan.

Malah beliau turut bersama-sama pemimpin Pakatan yang lain untuk menyempurnakan satu gimik pelancaran dalam majlis yang sama.

NONEGimik berkenaan adalah bagi pelancaran risalah 'buku jingga' Pakatan yang menggariskan program-program yang akan dijalankan dalam masa 100 hari sekiranya berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas ini.

Sebaik saja menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim selesai memberikan ucapan, beliau turut bangun dan bersalaman dengan Khalid sambil bibirnya menguntumkan senyuman.

Namun, ketika Khalid sedang menyudahkan ucapannya sebelum itu, wajah Mohammed Khusrin ternyata serius.

Khalid menamatkan ucapan beliau itu dengan rayuan kepada para penjawat awam serta para pemimpin yang dilantik dalam pentadbiran negeri Selangor supaya "lebih memahami kemahuan rakyat Selangor."

"Sekarang bukan rakyat yang kena minta, tapi kerajaan yang kena bagi. Rakyat yang menjadi tuan kepada pentadbiran kita," kata Khalid dalam ucapannya.

selangor government launch orange book 060311 khalidDalam ucapan itu, Khalid turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri itu akan melancarkan program tiga tahun untuk pembangunan Selangor dalam satu rancangan yang dinamakan Agenda Selangor Untuk Rakyat.

Program yang akan dilancarkan pada 26 Mac itu merupakan rangka kepada semua aspek pembangunan yang akan dijalankan di Selangor, kata Khalid.

Dalam program berkenaan, tumpuan akan diberikan ke atas usaha untuk menyelamatkan khazanah Selangor seperti melalui hasil air, galian dan juga hasil melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri, katanya lagi.

Tempoh 1,000 hari atau tiga tahun sebelum ini telah membolehkan kerajaan negeri mengenalpasti "kebocoran" melalui hutang yang tidak dikutip oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Melalui usaha yang dijalankan, kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan semula RM392 juta daripada jumlah yang tidak dikutip itu.

"Kita tidak ambil duit kerajaan Selangor atau persekutuan tapi dari perkara yang dulunya bocor dan tidak dikutip, kita ambil dan beri kepada rakyat. Inilah yang dikatakan hasil negeri untuk rakyat

"Duit itu kita telah mula gunakan, contohnya RM20 juta yang diperuntukkan dan dilancarkan untuk masyarakat miskin di bandar," katanya lagi disambut tepukan pada majlis itu.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga telah mengenalpasti aset air milik rakyat bernilai lebih RM10.9 bilion.

selangor government launch orange book shah alam 060311 1Kini, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjadikan pentadbiran air itu dibuat secara telus, tertib dan menguntungkan rakyat, kata Khalid.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berjaya mendapatkan semula hasil daripada perlombongan pasir berjumlah RM50 juta melalui syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd.


Turut berucap di majlis itu ialah ahli parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP dan juga presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Pesuruhjaya PAS negeri dan juga exco hal ehwal agama Islamnya Datuk Hasan Ali turut menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.

Sambutan tiga tahun pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor itu diadakan selama dua hari di Stadium Malawati di Shah Alam yang berakhir hari ini.

Antara acara lain sepanjang dua hari program tersebut ialah pertandingan futsal, go-kart, persembahan kesenian, pameran, pertandingan memasak dan pertanding mewarna untuk kanak-kanak.

Tiada ulasan: